mohamadridzuan@hmetro.com.my
Shah Alam: Juara edisi pertama program realiti nyanyian, Raise The Star Malaysia, Didie Shazry mahu membalas jasa kakak sulungnya, Asniza Norsita, 33, yang banyak berkorban terhadapnya.
Didie, 23, dari Kudat, Sabah berkata, dia berhasrat berkongsi separuh daripada wang kemenangan berjumlah RM30,000 menerusi program terbabit kepada kakaknya.
“Kakak banyak berkorban menjaga kami semua selepas ibu bapa bercerai sewaktu saya berusia sembilan tahun. Ayah pilih pulang ke Sarawak.
“Dia sanggup berhenti sekolah sewaktu di tingkatan empat kerana nak beri peluang kepada enam adik beradik lain memandangkan keluarga kami tidak berkemampuan.
“Saya merasakan kakak memang selayaknya mendapatkan wang kemenangan ini. Selebihnya pula saya akan gunakan untuk berkarya dalam seni,” katanya ditemui di sidang media program terbabit di
yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam, malam tadi.
Menurutnya, jasa kakaknya tidak terbalas dan dia sanggup menerbangkan kakaknya dari Sabah sejak minggu separuh akhir untuk menyaksikan persembahannya termasuk di pentas akhir ini.
“Saya sebelum ini tak beritahu dia mahu membahagikan wang kemenangan bersama. Ini merupakan satu kejutan buat kakak.
“Saya memang sudah berniat mahu berkongsi wang kemenangan ini. Dia memang layak mendapatkan apa yang saya terima ini (hadiah wang tunai),” katanya.
Didie pernah melalui cabaran getir dalam hidup apabila pernah dijaga oleh keluarga angkat sehingga usianya 16 tahun.
Bagaimanapun, selepas kematian bapa angkatnya, dia kembali menetap dengan Asniza sehinggalah dia berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.
“Saya tinggal dengan kakak sejak usia 9 tahun hingga 12 tahun. Selepas itu saya diambil sebagai anak angkat oleh arwah abah angkat saya dan dialah yang banyak mengajar saya tentang muzik.
“Saya hidup dengan keluarga angkat sampai tingkatan empat kerana bapa angkat meninggal dunia dan kemudiannya tinggal semula dengan kakak,” katanya yang mengambil pendidikan muzik.
Didie mencatat kenangan manis apabila diumumkan sebagai juara Raise The Star Malaysia (RTSM) dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 bersama sebuah trofi.
Dia yang menyanyikan lagu baharu ciptaan Aina Abdul berjudul Peganglah Hati juga akan merakamkan lagu terbabit sebagai singlenya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




