JUICE lancarkan 'Best Of 2025' hargai ikon, pencipta tempatan

JUICE lancarkan 'Best Of 2025' hargai ikon, pencipta tempatan

Kuala Lumpur: Portal gaya hidup dan hiburan nombor satu Malaysia, JUICE, kembali dengan edisi terbaharu JUICE Best Of 2025, sambutan tahunan yang menghimpunkan individu, artis dan lokasi paling berpengaruh yang membentuk muzik, fesyen, gaya hidup serta acara sepanjang tahun lalu.

Selepas kejayaan besar The Best of 2024, JUICE hadir tahun ini dengan versi yang lebih lantang, berani dan tajam.

Fokusnya tetap sama iaitu memberikan platform kepada rakyat Malaysia untuk mengetengahkan artis, pencipta dan pencetus trend yang berani menentang norma lama dan membentuk perspektif segar mengikut identiti unik mereka.

Menurut pasukan editorial JUICE, Best Of 2025 bukan sekadar pertandingan populariti.

Ia menyatukan gergasi arus perdana dan pejuang ‘underground’ pada pentas yang sama kerana kedua-duanya memainkan peranan penting menggerakkan budaya, meskipun melalui cara yang berbeza.

Calon-calon yang diketengahkan adalah perintis budaya sebenar suara baru, alternatif dan ‘genre-bending’ dari seluruh Malaysia yang tidak takut bereksperimen dan mencipta aliran mereka sendiri.

Untuk tahun 2025, kategori yang dipertandingkan merangkumi muzik, fesyen, acara dan gaya hidup.

Dalam muzik, perhatian diberikan kepada lagu terbaik, album, kumpulan, artis baru dan DJ.

Dalam fesyen pula, pencapaian dalam rekaan, streetwear, aksesori, kasut dan kedai ‘thrift’ diberi pengiktirafan.

Bahagian acara pula memberi fokus kepada konsert, pelancaran produk dan festival yang memberi kesan sepanjang tahun, sementara gaya hidup mengetengahkan kafe dan lokasi santai paling menonjol.

Undian dibuka sehingga 20 Disember

Kemuncak acara ini ialah Person of the Year, anugerah kepada individu yang paling mencetuskan perbualan, memacu budaya atau yang paling sukar diabaikan dalam lanskap Malaysia sepanjang tahun.

Pengundian sudah dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia.Orang ramai boleh mengundi secara dalam talian dan mengikuti Instagram JUICE untuk kemas kini sepanjang kempen berlangsung.

Tahun lalu, JUICE menerima lebih 5,000 undi hanya dalam seminggu, membuktikan sokongan tinggi komuniti tempatan.

Kali ini ia dijangka lebih meriah dengan interaksi yang lebih hangat dan sambutan lebih besar untuk nama-nama yang mendefinisikan 2025.

Undian bakal ditutup pada 20 Disember 2025.

Untuk mengundi dan mengikuti perkembangan penuh, layari https://juiceonline.com/bestof2025/, dan ikuti JUICE di Instagram di @juicemy.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top