Festival muzik yang dinanti-nantikan, Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 bakal menghidangkan pengalaman konsert luar biasa kepada peminat muzik tempatan dengan kehadiran band pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy sebagai artis utama fasa pertama.
Acara ini dijadual berlangsung pada 17 Ogos 2025 (Ahad) di Mega Star Arena, Kuala Lumpur dan menjanjikan sebuah gabungan muzik dan inspirasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Dianjurkan oleh Expoindo dengan kerjasama Thrive, RIF 2025 bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya membawa konsep segar yang menyatukan muzik, penceritaan dan perkongsian pengalaman peribadi para artis, menjadikan setiap persembahan lebih dekat dan bermakna buat penonton.
“Nama ‘Ruang Inspirasi’ itu sendiri lahir daripada hasrat kami untuk menyediakan satu ruang di mana muzik bukan sahaja menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa dan memberi inspirasi,” ujar Bram Tulong, wakil Expoindo.
Bram turut mengumumkan kehadiran Juicy Luicy sebagai tarikan utama festival kali ini atas populariti luar biasa kumpulan itu dalam kalangan generasi muda Malaysia. Lagu-lagu mereka seperti Lantas, Lampu Kuning dan Sialan seringkali mengisi carta muzik digital dan menjadi siulan ramai.
“Tidak dinafikan, Juicy Luicy antara artis yang paling digemari oleh generasi muda di Malaysia. Lagu-lagu mereka bukan sahaja dekat dengan pengalaman hidup pendengar, malah sarat dengan mesej emosi yang kuat. Disebabkan itu mereka dipilih sebagai tumpuan utama RIF tahun ini,” katanya lagi.
RIF 2025 akan membawakan dua sesi persembahan dalam satu hari iaitu pada sebelah tengah hari dan malam. Menariknya, setiap artis yang membuat persembahan turut akan berkongsi kisah peribadi dan cabaran mereka dalam dunia muzik, mewujudkan suasana lebih intim dan menyentuh hati.
“Kami mahu penonton merasa lebih rapat dengan artis, bukan sekadar menonton dari jauh. Ada ruang perkongsian, cerita dan inspirasi yang menjadikan setiap momen lebih peribadi dan mendalam,” tambah Bram.
Sementara itu, Johnathon Wong dari BBO Events memaklumkan RIF turut merancang untuk diperluas ke beberapa bandar utama lain di Malaysia.
“Harapan kami, RIF akan menjadi jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia. Dalam masa yang sama, kami mahu menyebarkan nilai-nilai positif dan inspirasi kepada masyarakat melalui muzik yang kami bawakan,” ujarnya.
Juicy Luicy hanyalah permulaan kerana penganjur bakal mengumumkan barisan artis fasa kedua tidak lama lagi. Kombinasi ini dijangka membentuk sebuah festival yang unik, eksklusif dan pertama seumpamanya di Malaysia.
Tiket untuk persembahan malam Juicy Luicy kini dijual bermula 3 Julai 2025 menerusi aplikasi BBO Events dan laman web rasmi ri-fest.com/kualalumpur. Harga tiket ‘Presale’ bermula RM528 sehingga RM128.