Juicy Luicy & Tulus Bakal Gegarkan Mega Star Arena! Ruang Inspirasi Festival 2025 Janjikan Persembahan Paling ‘Feel’ Pada 17 Ogos Ini!

Juicy Luicy & Tulus Bakal Gegarkan Mega Star Arena! Ruang Inspirasi Festival 2025 Janjikan Persembahan Paling ‘Feel’ Pada 17 Ogos Ini!

Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 bakal menggegarkan Kuala Lumpur dengan kehadiran dua nama besar dari seberang, Juicy Luicy dan Tulus, yang akan tampil di pentas Mega Star Arena pada 17 Ogos 2025 (Ahad).

Festival yang dibawakan oleh Expoindo bersama rakan penganjur konsert tempatan, Thrive, menjanjikan pengalaman yang berbeza, bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga suntikan emosi dan inspirasi buat para pengunjung, khususnya golongan muda di Malaysia.

Mengangkat konsep unik yang menggabungkan elemen muzik dan kisah-kisah di sebalik karya seni, RIF memberi tumpuan kepada kekuatan naratif dalam muzik yang boleh menyentuh perasaan dan membina semangat positif dalam komuniti.

Menurut wakil Expoindo, acara ini akan menampilkan artis-artis yang paling dinantikan oleh peminat muzik tanah air, khususnya di Kuala Lumpur. Untuk penganjuran edisi sulung ini, peminat bakal dihiburkan dengan persembahan memukau daripada Tulus dan Juicy Luicy.

“Nama ‘Ruang Inspirasi’ itu sendiri lahir daripada hasrat kami untuk menyediakan satu ruang di mana muzik bukan sahaja menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa dan memberi inspirasi.

“Edisi kali ini, kami menampilkan kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy, sebagai artis utama. Kumpulan ini tidak asing bagi peminat muzik tempatan menerusi lagu-lagu hits mereka seperti ‘Lantas’, ‘Lampu Kuning’, ‘Sialan’ dan banyak lagi.

“Tidak dinafikan, Juicy Luicy antara artis yang paling digemari oleh generasi muda di Malaysia. Lagu-lagu mereka bukan sahaja dekat dengan pengalaman hidup pendengar, malah sarat dengan mesej emosi yang kuat. Disebabkan itu mereka dipilih sebagai tumpuan utama RIF tahun ini,” kata Bram Tulong, wakil Expoindo.

Menariknya, Juicy Luicy diumumkan sebagai artis fasa pertama untuk RIF 2025, manakala Tulus, yang merupakan pengumuman fasa kedua, telah disahkan kehadirannya pada 16 Julai lalu. Tiket pula sudah mula dijual kepada umum.

Mengikut jadual, Tulus dijangka menghiburkan penonton pada sesi petang bermula 1.30 tengah hari, manakala Juicy Luicy akan mengambil alih pentas pada waktu malam, jam 7.30 malam, dengan persembahan bertenaga yang pastinya menggetarkan suasana.

Festival ini turut diiringi dengan harapan untuk menjadi platform serantau yang menghubungkan artis dari dua negara jiran, Malaysia dan Indonesia menerusi muzik yang menyentuh perasaan serta menghubungkan budaya.

“Harapan kami, RIF akan menjadi jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia. Dalam masa yang sama, kami mahu menyebarkan nilai-nilai positif dan inspirasi kepada masyarakat melalui muzik yang kami bawakan,” ujar Johnathon Wong, wakil BBO Events.

RIF 2025 bakal menyajikan dua sesi persembahan dalam satu hari, memberi peluang kepada penonton memilih waktu yang sesuai atau menikmati kedua-duanya sekali. Tiket bagi sesi petang mula dijual pada 17 Julai melalui platform rasmi BBO EVENTS dan laman web www.ri-fest.com/kualalumpur.

Senarai harga tiket bundle adalah bermula dari RM268 sehingga RM1,028. Bagi peminat yang sudah membeli tiket untuk Juicy Luicy, anda boleh menaik taraf (upgrade) tiket menerusi aplikasi BBO EVENTS dengan menekan butang “UPGRADE” bagi mendapatkan harga istimewa.

Untuk semua maklumat terkini mengenai tiket, faedah pembelian dan festival secara keseluruhan, layari platform rasmi www.ri-fest.com/kualalumpur atau muat turun aplikasi BBO EVENTS.

Scroll to Top