Julang, ampu ‘jasa’ kerajaan terdahulu tindakan lapuk – Utusan Digital

Julang, ampu ‘jasa’ kerajaan terdahulu tindakan lapuk – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Kegagalan pentadbiran kerajaan dahulu tidak harus dijulang sebagai satu kejayaan politik. 

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang Muda), Akif Rusli berkata, tindakan sedemikian merupakan tindakan lapuk dalam berpolitik. 

Justeru, pihaknya enggan terheret dalam amalan politik sedemikian sebaliknya berusaha mencipta ruang dan peluang membantu rakyat khususnya golongan belia. 

“Politik khidmat Pejuang Muda tidak hanya terkurung dalam kerangka menghulurkan bantuan dan sumbangan, bahkan hingga ke tahap memberikan idea bagi rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan yang menekan. 

“Khidmat sebegini akan diteruskan atas kapasiti Pejuang Muda sebagai sayap kepada parti pembangkang yang berhasrat melebarkan jangkauan kepada rakyat khususnya belia. 

“Kami tidak mahu terjerat dan berusaha mengelakkan apa sahaja bentuk politik retorik yang hanya tahu mengampu mahu pun sekadar ucapan terima kasih kepada jasa pentadbiran dahulu yang tidak wajar dijulang kerana kegagalannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Akif berkata demikian dipercayai merujuk kepada kritikan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pentadbirannya. 

Ia berkait dengan pengurusan pandemik Covid-19 seperti penutupan sektor tertentu yang didakwa berat sebelah, pembukaan sekolah semasa kes jangkitan masih tinggi, kelonggaran menjalani kuarantin dan sekatan pergerakan yang didakwa separuh masak. 

Pada 16 Ogos lalu, Muhyiddin meletak jawatan selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik semula sokongan dan digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan. -UTUSAN ONLINE

 

Scroll to Top