bhhip@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Suatu ketika dulu, suara merdunya sering mengalunkan lagu jazz dan keroncong sekitar 1960-an. Kini, pada usia emas, Datin Paduka Julie Sudiro, 78, tenang menjalani kehidupannya sebagai guru mengaji.
Mendiami teres dua tingkat bersama anak bongsu dan cucu di Subang Jaya, Selangor, kediamannya dikunjungi anak murid yang datang belajar mengaji al-Quran, setiap hari.
Antara mereka yang pernah bergelar anak muridnya termasuklah anak Allahyarham Seniwati Mariani, Shasha dan Dian P Ramlee dan ramai lagi.
Sesekali Julie juga menerima undangan mengajar secara tertutup kepada pelajar yang berstatus VIP. Ada kalanya, beliau juga dijemput mengajar di kawasan sekitar kediamannya.
“Saya tidak pernah meletakkan harga. Kalau suka, mereka bayar. Jika tidak dibayar sekali pun tak mengapa kerana apa yang penting, bekalan di akhirat kelak,” katanya kepada BH Online.
Dengan senyuman sentiasa terukir di bibir, bicaranya lebih banyak berkisar mengenai rasa cintanya pada akhirat.
Bercerita bagaimana boleh bergelar seorang guru mengaji, ibu kepada dua cahaya mata lelaki itu berkata, semuanya bermula sejak 1996.
“Arwah bapa, Radin Sudiro orang bangsawan, tetapi setiap malam Jumaat, bapa akan berehat dan menumpukan kepada amal ibadat. Biarpun bapa bekerja filem, tetapi kami tidak lupa dihantar mengaji ke masjid. Kiranya ilmu agama memang tertanam dalam sanubari sejak kecil.
“Kemudiannya, saya sering pergi belajar mengaji apabila berpindah ke Subang Jaya sekitar 2000. Dari situ, ada yang menyarankan supaya menyertai kelas di Masjid Negara. Hampir enam tahun juga saya berulang alik dari Subang Jaya ke Kuala Lumpur untuk menuntut ilmu hingga berjaya memperoleh sijil dengan keputusan cemerlang.
“Ketika itu, bekas imam Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail memberi galakkan supaya memanfaatkan ilmu diperoleh kerana ilmu akan hilang jika tidak diamalkan. Mula menyertai kelas, saya akui ada rasa malu, maklumlah kitakan artis. Ketika diminta memperkenalkan diri, saya hanya menundukkan wajah, tetapi tidak sangka ustaz dan rakan sekelas lain menerima saya dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, Julie atau nama sebenarnya, Raden Juariah Raden Sudiro berkata, dia tidak pernah menyesal memilih mencari rezeki dalam bidang seni, sebaliknya percaya kepada qada dan qadar Allah.
Malah, nenek kepada lapan cucu itu juga yakin, setiap perkara yang berlaku kepada setiap hamba Allah sudah pun ditentukan. Justeru, tidak pernah sekelumit timbul penyesalan apabila memilih untuk berada di bawah pacaran cahaya glamor.
“Semua ini adalah ketentuan dari-Nya. Jika menyesal, itu bermakna kita mempertikaikan kerja Allah. Banyakkan basahi bibir dengan beristighfar, selain memohon doa kita akan berubah, suatu hari nanti. Itu apa yang sering saya pegang.
“Pernah satu hari ulama terkenal dari Indonesia, Pak Hamka datang ke rumah kakak saya. Ketika itu, abang ipar sempat menceritakan mengenai saya yang suka menyanyi kepada ulamak berkenaan.
“Beliau bilang, minyak dan air tidak bercampur. Apa yang penting, saya menjaga solat dan sentiasa memohon kepada Allah untuk berubah. Meskipun sibuk menyanyi, saya bersyukur dapat menjalankan tanggungjawab kepada-Nya dengan baik.
“Saya menghadiri kuliah di Masjid Negara selepas asar hingga maghrib hampir setiap hari. Selepas itu, saya akan bergegas ke Kelab Tasik Perdana untuk bekerja,” katanya.
Apa yang penting, katanya, muhasabah diri. Jika mampu menjalankan tanggungjawab sebagai penyanyi, bermakna dia juga boleh jalankan tuntutan-Nya.
Biarpun semakin jauh daripada pancaran gemerlapan dunia seni, isteri kepada pemuzik jazz terkenal Allahyarham Tony Suliano yang meninggal dunia sekitar 1990-an itu tidak berkecil hati apabila namanya kian dilupakan.
Namun, Julie tetap bersyukur apabila masih ada pihak yang mengingat sumbangannya kepada industri.
Baru-baru ini, penyanyi berdarah Jawa itu menerima kunjungan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)
yang diketuai Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid yang menyampaikan sumbangan Ramadan sempena program Ziarah FINAS Prihatin 3.0.
“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila masih ada yang mengingati. Saya pun tidak sangka masih ada yang ingat maklumlah saya pun tidak lagi aktif seperti dahulu. Saya tidak begitu aktif dalam laman sosial. Dalam usia emas, saya lebih suka berkongsi ilmu agama sosial berbanding hal lain.
“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada FINAS masih mengingati saya,” katanya.
Ditanya mengenai tawaran nyanyian, Julie berkata, kali terakhir diundang mengadakan persembahan pada Disember tahun lalu untuk sebuah majlis hari jadi temannya.
Selain itu, katanya, dia juga sudah lama tidak mendapat undangan menyanyi.
“Mungkin Allah tahu saya kini tenang menjalani kehidupan sebagai guru mengaji. Biarpun tiada undangan menyanyi, tetapi saya sentiasa bersangka baik dan percaya rezeki datangnya dari Allah. Jika tidak diberikan rezeki duit, mungkin rezeki makan,” kata penyanyi yang mendapat anugerah Datin Paduka daripada Almarhum Sultan Mahmud Iskandar pada 2006.
Pernah memiliki puluhan lagu dan album sehingga pernah diundang menyanyi ke Australia, Julie menyifatkan penyanyi pada zaman era digital amat beruntung kerana kecanggihan teknologi membantu kelancaran proses penghasilan lagu dan persembahan.
Bukan itu sahaja, katanya, penyanyi muda juga mempunyai platform mengasah vokal. Berbanding artis zaman dahulu yang mempelajari vokal hasil pengalaman mengadakan persembahan secara langsung.
“Penyanyi dahulu mungkin tidak begitu dikenali kerana rangka promosinya tidak sehebat zaman ini. Sekarang ini, walaupun hanya satu lagu, syarikat rakaman gigih membuat promosi dan memasarkan lagu. Ia berbeza dengan zaman saya dahulu.
“Oleh itu, saya menasihat penyanyi baharu jangan mempersia-siakan peluang ini. Mereka bertuah terdapat banyak kelas boleh dihadiri untuk asah vokal, bukan macam zaman saya. Semuanya kena buat sendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd