Jumlah hutang isi rumah meningkat RM1.57 trilion

Jumlah hutang isi rumah meningkat RM1.57 trilion

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jumlah hutang isi rumah meningkat kepada RM1.57 trilion Jun lalu berbanding RM1.53 trilion direkodkan pada akhir tahun lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu membabitkan 83.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 84.2 peratus, tahun lalu.

“Berdasarkan jenis pembiayaan, bahagian terbesar hutang isi rumah terdiri daripada pinjaman perumahan iaitu merangkumi 61 peratus daripada jumlah hutang isi rumah.

“Ini diikuti pinjaman kenderaan sebanyak 13.5 peratus, pembiayaan peribadi (12.4 peratus dan pinjaman untuk tujuan lain seperti pembelian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan sebagainya,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai peningkatan hutang isi rumah yang kini mencecah RM1.53 trilion dan langkah Kementerian untuk memperkenalkan dasar yang lebih ketat bagi mengawal peningkatan hutang isi rumah.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak sekian lama mengambil pendekatan berhemat dan berhati-hati dalam menangani risiko ini bagi memastikan ia tidak menjejaskan daya tahan kewangan isi rumah serta kestabilan sistem kewangan negara.

“Sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengawal hutang isi rumah dan mengukuhkan daya tahan isi rumah termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012.

“Selain itu, salah satu inisiatif utama ialah Bulan Literasi Kewangan yang diadakan pada Oktober setiap tahun.

“Sebahagian besar hutang tertumpu kepada pembelian rumah dan kenderaan jadi inisiatif kerajaan untuk memastikan perumahan kekal mampu milik serta memperbaiki sistem pengangkutan awam lebih efisien memainkan peranan penting dalam mengawal pertumbuhan hutang secara berkesan.

“Langkah ini dapat mengurangkan tekanan hutang serta menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi jangka panjang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top