Jumlah kutipan sampah di Kelantan meningkat sekali ganda sejak Aidilfitri

Jumlah kutipan sampah di Kelantan meningkat sekali ganda sejak Aidilfitri

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jumlah kutipan sampah yang dikutip di Kelantan sejak Aidilfitri meningkat lebih sekali ganda berbanding hari biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah berkata, sebelum ini jumlah sampah yang dihasilkan oleh penduduk adalah antara 200 tan metrik sehari, namun ketika Aidilfitri ia meningkat sehingga 400 tan metrik sehari.

“Jadual pungutan sampah diteruskan seperti biasa, namun jumlah pembuangan sampah bertambah pada hari raya disebabkan kebanjiran perantau yang pulang menyambut Aidilfitri selain orang ramai turut mengadakan rumah terbuka.

“Waktu operasi tapak pelupusan sampah juga dilanjutkan hingga pagi,” katanya selepas Sidang Media Sempena Program Rumah Terbuka Pas Kelantan di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad Ke IV di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hilmi berkata, kerajaan negeri mengesan ada peniaga di bazar Aidilfitri di sekitar Kota Bharu yang melanjutkan operasi perniagaan mereka sehingga 4 pagi pada malam raya baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara ini menyebabkan masalah kepada pekerja pembersihan untuk menguruskan sampah apabila peniaga menutup lewat premis perniagaan mereka.

“Peniaga bazar melanjutkan waktu perniagaan disebabkan sambutan yang diterima luar biasa memandangkan ramai perantau yang pulang mahu mencari kelengkapan di Aidilfitri.

“Bagaimanapun, tidak ada tindakan yang diambil, namun pada masa akan datang, pihak kami akan mencari kaedah supaya peniaga dapat menutup operasi perniagaan mereka lebih awal agar kerja pembersihan dapat dilakukan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menetapkan urus niaga dan operasi di Bazar Raya Aidilfitri hanya sehingga 12 tengah malam.

MPKB-BRI dalam satu kenyataan berkata, peraturan itu tertakluk mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Undang-Undang Kecil Penjaja.

Kegagalan mematuhi notis menyebabkan peniaga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 171 dan Undang-Undang Kecil Penjaja MPKB-BRI.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top