PUTRAJAYA: Sejumlah 255 petugas perubatan dari Kementerian Kesihatan bakal dihantar ke Tanah Suci bagi membantu Tabung Haji melancarkan perjalanan ibadah pada musim kali ini.
Jumlah itu meliputi 128 petugas berpengalaman yang pernah menyertai operasi musim haji tahun sebelum ini dan baki 127 petugas baharu menerusi iklan pengambilan akhir tahun lalu.
Bilangan itu sekali gus menyamai jumlah dihantar pihak kementerian pada 2019 iaitu tahun terakhir sebelum kerajaan memutuskan tidak menghantar jemaah haji musim 2020 dan 2021.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin, kumpulan itu terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan termasuk farmasi, jururawat dan perawatan kesihatan.
“Seperti tahun terdahulu, petugas kementerian akan bantu mengendalikan kes yang berkaitan perubatan dihadapi jemaah selain mengoperasikan fasiliti sepanjang di sana kelak,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, susulan risiko penularan Covid-19, pihak kementerian membekalkan sebanyak 3,000 ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan merawat jemaah yang dijangkiti. – UTUSAN




