Aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza balas jawapan yang diterima susulan disekat dari ke luar negara kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Fahmi Reza balas jawapan pihak-pihak tertentu
Memetik perkongsiannya di media sosial, Fahmi menyatakan sudah membaca respon yang diterima beberapa pihak yang dianggap saling menuding jari sedangkan dirinya sudahpun disekat tempoh hari.
“Dear Kerajaan Madani, aku dah baca jawapan Anwar Ibrahim yang tuding jari pada polis, dan kenyataan polis yang tuding jari pula pada imigresen, kononnya “tiada sebarang sekatan rasmi” dari kerajaan, dan berlaku “kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara”.
“Nak tahu apa yang aku tak nampak? Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambik tanggung jawab atas kesilapan korang yang menyebabkan hak kebebasan bergerak aku disekat,” jelas Fahmi lagi.
Fahmi Reza balas jawapan, tiada tampil minta maaf
Tambahnya, tindakan tersebut telah merugikan masa dan wangnya sebagai rakyat biasa, namun tiada pihak yang tampil meminta maaf atau mengaku silap.
“Korang senang je cakap “tiada sekatan rasmi”.
“Tapi realitinya, aku tetap kena sekat semalam. Aku tetap tak dapat ke luar negara. Aku tetap dinafikan hak aku sebagai rakyat.
“Aku hanya rakyat biasa. Korang dah sekat, susahkan, dan rugikan masa dan duit aku, tapi kemudian cuci tangan, tak nak mengaku salah,” katanya.
Akan guna saluran betul ambil tindakan
Susulan daripada itu, dia menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang dan mengikut saluran yang betul dalam pelbagai isu seperti yang disarankan oleh pihak kerajaan sebelum ini.
“Kalau rakyat buat salah, korang tak tunggu lama untuk heret kami ke mahkamah. Kali ni, giliran rakyat pula untuk heret pihak berkuasa ke mahkamah. Kerajaan dan pihak berkuasa bukan kebal. Rakyat patut berani melawan,” ujarnya.
“Rakyat tak patut takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat.
“Korang (kerajaan) selalu suruh aku ‘gunakan saluran yang betul’, kan? Okay, kita jumpa di mahkamah,” tulisnya.
Artikel: PDRM jelaskan tiada sebarang sekatan rasmi buat Fahmi Reza ke luar negara
Untuk rekod, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap Fahmi Reza dan mendakwa kekeliruan berlaku semasa proses semakan di pintu keluar negara.
Manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sebelum itu telah mengarahkan agar Timbalan Ketua Polis Negara menyemak isu berkenaan dan meminta penjelasan lanjut daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber: Facebook Fahmi Reza