am@hmetro.com.my
Kluang: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengesahkan menerima aduan penemuan kesan tapak kaki dipercayai harimau belang di Projek Pertanian Moden di sini, Jumaat lalu.
Lokasi penemuan tapak harimau belang itu dikesan pada jarak 15 kilometer (km) dari Hutan Simpan Renggam, dan 27 km dari Hutan Simpan Kluang pada jam 7.30 petang.
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, empat anggota PERHILITAN Batu Pahat dan pejabat PERHILITAN Kluang ke lokasi penemuan kesan tapak kaki untuk menjalankan siasatan lanjut.
Beliau berkata, hasil siasatan Jabatan PERHILITAN mendapati kesan tapak kaki kira-kira dengan kelebaran 12 sentimeter (cm) dan panjang 11 cm
“Siasatan juga mendapati kesan tapak kaki itu dipercayai sudah tiga hingga empat hari lalu. Susulan itu, rondaan dan kawalan dilaksanakan Jabatan PERHILITAN sehingga tempoh 14 hari bagi memastikan keselamatan kawasan tersebut terjamin.
“Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) akan melaksanakan pemasangan perangkap kamera bagi mengesan corak pergerakan harimau terbabit dan seterusnya menilai tindakan susulan bersesuaian.
“Jabatan PERHILITAN menasihatkan penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti harian serta mengelakkan berada bersendirian di kawasan hutan atau ladang, khususnya pada waktu awal pagi dan lewat petang,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, Jabatan PERHILITAN juga mengharapkan orang ramai akan terus
memberikan sokongan dan membantu dengan menjadi mata dan telinga Jabatan PERHILITAN melalui penyaluran maklumat berhubung kehadiran hidupan liar.
“Maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan www.wildlife.gov.my. Awam (SISPAA).” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



