JAGUH Player Unknown’s Battleground (PUBG) Mobile negara, Muhammad Izzrudin Hashim mengharapkan keputusan berehat panjang daripada dunia e-sukan mampu membuatnya kembali lebih bertenaga bagi mengharungi pengembaraan bersama pasukan baharu ‘Yoodo O-TWO’.
Muhammad Izzrudin atau lebih dikenali Jumper dalam kalangan komuniti e-sukan berkata, tempoh rehat panjang itu digunakan sepenuhnya bagi mengembalikan kesegaran mindanya setelah empat tahun tanpa henti bertarung dalam dunia sukan maya sebelum ini.
“Selepas pulang dari Sukan SEA 2023 di Kemboja, saya buat keputusan untuk berehat selama enam bulan atau semusim setelah bermain empat tahun tanpa henti.
“Rehat kali ini agak panjang dalam kerjaya saya, mungkin orang di luar lihat e-sukan senang namun ia tidak semudah disangka kerana pemain perlu banyak berfikir. Jadi disebabkan itu rehat yang ada ini dapat segarkan kembali otak saya,” katanya.
