mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Impian Leong Jun Hao untuk mara jauh dalam saingan Terbuka Jepun 2025 tak kesampaian apabila tersingkir seawal pusingan pertama selepas tumpas kepada juara bertahan dari Perancis, Alex Lanier, hari ini.
Dalam aksi berlangsung di Gimnasium Tokyo Metropolitan hari ini, pemain perseorangan negara itu tunduk dalam straight set 12-21, 14-21 hanya dalam tempoh 40 minit permainan.
Kekalahan itu sekali gus menyerlahkan jurang ketara antara Jun Hao yang kini menghuni ranking ke-24 dunia dengan Lanier yang berada di kedudukan kelapan dan dilabel antara bintang muda paling menyerlah di Eropah.
Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen, tidak menyembunyikan rasa kecewa apabila mengakui anak buahnya gagal memberikan cabaran sebenar kepada Lanier sepanjang perlawanan.
“Masih ada jurang dari segi kualiti permainan. Jun Hao cuba tetapi tidak cukup konsisten untuk buat Lanier rasa tertekan. Malah dia nampak kurang selesa sejak awal permainan,” katanya.
Jonassen turut memuji semangat juang tinggi ditampilkan pemain Perancis itu yang bermain dengan hampir tiada kesilapan dan mengawal tempo perlawanan dari awal hingga tamat.
Kekalahan itu menyaksikan Jun Hao perlu segera bangkit dan memperkemas persiapan bagi menghadapi kejohanan seterusnya iaitu Terbuka China yang akan berlangsung di Changzhou, 22 hingga 27 Julai ini.
“Sekurang-kurangnya kekalahan ini beri gambaran jelas apa yang perlu diperbaiki menjelang Kejohanan Dunia di Paris bulan depan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan Terbuka Jepun adalah medan ujian terakhir sebelum masuk fasa penting menjelang aksi di Paris, dan kekalahan itu memberi jawapan terhadap persoalan yang berlegar sepanjang sesi latihan sebelum ini.
“Perjalanan kita masih panjang. Ini satu isyarat awal kita tak boleh terlalu selesa dan perlu bekerja lebih keras jika mahu pergi lebih jauh di pentas dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd