saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berharap prestasinya yang cemerlang dalam acara berpasukan dapat diteruskan apabila beraksi menerusi acara individu.
Pemain menduduki ranking ke-24 dunia itu mempunyai rekod baik apabila beraksi dalam acara berpasukan seperti ditunjukkannya ketika di Piala Sudirman hujung bulan lalu.
Ketika itu, dia menundukkan pemain ranking kelapan dunia, Kodai Naraoka semasa skuad negara bertemu Jepun pada saingan peringkat Kumpulan C, namun kemenangannya itu gagal membantu Malaysia yang akhirnya tewas 2-3 di tangan pasukan Matahari Terbit itu.
Jun Hao yang juga bekas juara remaja Asia mengakui dia berasa pelik dengan prestasi dirinya apabila lebih cemerlang dalam acara berpasukan.
“Mungkin saya (perlu) menganggap setiap pertandingan individu sebagai pertandingan berpasukan. (Memang) ada rasa pelik, tapi saya tak tahu bagaimana dapat melakukannya.
“Sebab bagi saya, acara berpasukan lebih banyak tekanan. Jadi mungkin rasa itu (tekanan) membuatkan saya lebih bersemangat,” katanya.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu sebelum ini mengalami kecederaan tangan kanan ketika mengemudi cabaran negara pada Piala Sudirman, bulan lalu.
Jun Hao bakal turun beraksi pada pusingan pertama Masters Malaysia bertemu Nhat Nguyen dari Ireland, esok yang juga pertemuan pertama kedua-dua pemain itu di pentas antarabangsa.
Menariknya Nguyen dilatih oleh bekas pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang pernah menjadi senior kepada Jun Hao semasa mereka bersama dalam skuad kebangsaan.
Sementara itu, Jun Hao menafikan dia adalah seorang pemain yang ‘lambat panas’ apabila sering dilihat memerlukan masa untuk mendapatkan rentak permainan.
“Sebenarnya bukan lambat panas, tetapi mungkin ketika awal-awal permainan, saya sering mencuba apa yang pernah diterapkan ketika sesi latihan.
“Jadi ketika itu, mungkin ada (corak permainan) yang perlu diubah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd