[DIKEMAS KINI] PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao memulakan kempen Kejohanan Badminton Terbuka China 2025 dengan bergaya apabila menyingkirkan pilihan utama dari Jepun, Kenta Nishimoto dalam aksi pusingan pertama pada Selasa.
Berlangsung di Pusat Gimnasium Sukan Olimpik Changzhou, Jun Hao mempamerkan corak permainan bertenaga dan tersusun untuk mengejutkan Nishimoto dalam aksi dua set, 21-15, 21-18, dalam tempoh 45 minit.
Kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 25 tahun berkenaan layak ke pusingan kedua, namun dijangka berdepan cabaran lebih sengit apabila bakal bertemu pilihan utama Kejuaraan Super 1000, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.
Kunlavut sebelum itu turut dikejutkan pada set pertama sebelum bangkit menewaskan wakil Indonesia, Alwi Farhan, dengan keputusan 10-21, 21-15, 21-18 dalam aksi 65 minit.
Sementara itu, cabaran beregu lelaki muda negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri, berakhir selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.
Dalam aksi yang berlangsung selama 22 minit itu, pasangan negara gagal menyaingi keampuhan beregu pilihan Indonesia apabila tunduk straight set, 11-21, 10-21.
Bagaimanapun satu lagi pasangan negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, melangkah ke pusingan kedua acara beregu campuran selepas mencatat kemenangan dramatik ke atas pasangan India, Rohan Kapoor-Gadde Ruthvika Shivani.
Meskipun tewas pada set pembukaan 25-27, Tien Ci-Chiew Sien bangkit memperkemas permainan mereka untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-16, 21-14 dalam tempoh 60 minit.
Tien Ci-Chiew Sien akan berdepan wakil tuan rumah, Feng Yanzhe-Huang Dongping yang menjinakkan beregu Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara, 21-18, 21-16.
Â
Â