Jun Hao lakar kejutan ke separuh akhir

Jun Hao lakar kejutan ke separuh akhir

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao melakar kejutan apabila meneruskan kemaraan ke separuh akhir di Masters Kumamoto di Jepun sebentar tadi.

Pemain ranking ke-31 dunia itu melakar sensasi menundukkan wakil tuan rumah yang juga pemain nombor empat dunia, Kodai Naraoka dalam pertarungan tiga set 21-17, 9-21, 21-16.

Ia satu yang di luar jangkaan ketika pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia terkandas di suku akhir hari ini apabila tewas kepada Jonatan Christie 12-21, 21-18, 21-18 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Jun Hao bermula cemerlang di set pertama namun Naraoka bangkit untuk membawa perlawanan ke set penentuan apabila menang mudah di set kedua 21-9.

Namun Jun Hou menunjukkan perjuangan luar biasa apabila bangkit di set ketiga biarpun Naraoka mendahului perlawanan sebelum bangkit menyamakan kedudukan dan memimpin permainan sehingga menang 21-16.

Jun Hao sebelum ini turut mencipta kejutan dalam laluannya ke suku akhir selepas menumbangkan semifinalis Olimpik Paris 2024 dari India, Lakshya Sen di pusingan pertama.

Rentak juara Asia itu terus cemerlang dengan menunjukkan jalan keluar kepada pemain ranking ke-11 dunia dari Jepun, Hoki Watanabe di pusingan kedua, semalam.

Menanti Jun Hao di separuh akhir adalah Jonatan yang mara ke kelompok empat terbaik selepas menumbangkan Zii Jia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top