Jun Hao perlu buru kejuaraan

Jun Hao perlu buru kejuaraan

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Dia kena sahkan kedudukan nombor satu itu dengan menjadi juara.”

Itu pandangan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim yang mengakui bangga dengan pencapaian Leong Jun Hao kini sebagai pemain nombor satu Malaysia, namun mengingatkan status itu tidak harus dijadikan tekanan, sebaliknya pembakar semangat untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

Roslin berkata, kelebihan ranking yang dimiliki Jun Hao ketika ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuktikan dia benar-benar layak bergelar pemain terbaik negara.

“Kalau kita tengok, ranking dia (Jun Hao) tak jauh sangat pun daripada Lee Zii Jia (25 berbanding 28). Tapi dia tak boleh jadikan kedudukan itu sebagai tekanan, sebaliknya perlu dijadikan motivasi untuk pergi lebih jauh.

“Apa yang dia perlu buat sekarang ialah dapatkan gelaran. Kita tak mahu dia jadi nombor satu hanya sebab Zii Jia kurang bermain kejohanan. Kalau dia menang kejohanan, itu baru bagus,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Tambah Roslin, Jun Hao sebelum ini sudah membuktikan kemampuan menewaskan beberapa pemain utama dunia, namun kegagalannya menamatkan kejohanan sebagai juara membuktikan masih ada ruang untuk penambahbaikan.

“Kita tahu dia mampu tewaskan pemain ranking lebih tinggi, tapi lepas itu dia kalah juga. Jadi bukan prestasi yang konsisten dan tidak membawa kepada kejuaraan.

“Gunakan kedudukan nombor satu ini sebagai semangat. Jurulatih dia sekarang pun (Kenneth Jonassen) antara yang terbaik, jadi gunakan sepenuhnya kepakaran itu.

“Pada usia sekitar 26 tahun, sepatutnya dah ada satu gelaran. Tak kisah pun kalau kejohanan kecil seperti berstatus 300 atau 100. Itu pun dah memadai,” ujarnya.

Roslin turut menegaskan aspek ketahanan fizikal menjadi elemen penting yang perlu diberi perhatian oleh Jun Hao kerana prestasinya dilihat menurun apabila perlawanan memasuki set penentuan.

“Kita nampak perubahan dari segi permainan dia. Tapi masuk rubber set, dah nampak letih. Jadi dia kena lebih fokus kepada tahap kecergasan dan ketahanan fizikal.

“Kalau tengok, kecederaan pun dah tak ada. Dari segi taktikal pun okey. Jadi sekarang yang tinggal cuma kekuatan fizikal dan stamina sebab lagi jauh dia mara, lagi kuat lawannya,” jelas Roslin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top