sukan@hmetro.com.my
Langkawi: Pelayar Korea Selatan, Jung Hyewon merampas kedudukan teratas kelas ILCA 6 pada hari kedua Regata Perdana Antarabangsa Langkawi (LIRP) 2026 di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Kelibang, hari ini.
Atlet berusia 21 tahun itu memintas pendahulu semalam, Yumiko Tombe, 35, dari Jepun dengan kelebihan satu mata, sekali gus membayangkan persaingan lebih sengit bakal tercetus pada perlumbaan hari ketiga, esok.
Selepas tamat perlumbaan, Jung memperoleh sembilan mata, manakala Yumiko mendapat 10 mata.
Kedudukan tempat ketiga kelas berkenaan kekal menjadi milik atlet Wilayah Persekutuan, Nur Ku Zarith Jaa’far yang mengumpul 19 mata.
Perlumbaan bagi kelas Wing Foil Terbuka dan Wing Foil X-15 tidak dipertandingkan hari ini, namun dijadualkan berlangsung semula esok.
Dalam kelas ILCA 7, pelayar Selangor, Muhammad Faizal Asri, 22, terus menunjukkan aksi konsisten apabila kekal di kedudukan pertama dengan lapan mata, sekali gus sukar digugat pencabar lain.
Tempat kedua disandang pelayar Sabah, Muhammad Asnawi Iqbal Adam, 20, yang mengumpul 13 mata, manakala pelayar Kedah, Brandan Richard Peter Wright, berada di tempat ketiga dengan 18 mata.
Sementara itu, Pengarah Kejohanan LIRP 2026, Mohd Afendy Abdullah berkata, setakat hari kedua menunjukkan tahap persaingan semakin sengit dengan kedudukan peserta yang saling mengejar mata.
“Persaingan dijangka lebih menarik pada hari ketiga esok kerana jurang mata antara peserta tidak begitu besar, sekali gus membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk memintas kedudukan.
“Kita berharap keadaan angin yang konsisten di perairan Langkawi akan terus memberi kelebihan kepada pelayar untuk mempamerkan prestasi terbaik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




