Junior Golf Summer Camp 2023 dapat sentuhan Jing Xuen

Junior Golf Summer Camp 2023 dapat sentuhan Jing Xuen

JASIN – Penampilan istimewa pemenang pingat emas acara golf di Sukan SEA, Ng Jing Xuen baru-baru ini memeriahkan lagi suasana Program Junior Golf Summer Camp 2023.

Pengasas One Professional Golf Academy yang juga pengarah program, Mohd Irwan A. Rahman berkata, program selama dua hari yang berakhir semalam bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai dunia sukan berkenaan.

Menurutnya, program melibatkan seramai 26 peserta sempena musim cuti persekolahan itu adalah anjuran One Professional Golf Academy dengan kerjasama The Weststar Group.

Jing Xuen (kanan) memberi taklimat mengenai pukulan putting kepada para peserta yang menyertai Junior Golf Summer Camp 2023 di Jasin Heritage Golf Club, Jasin, Melaka.

“Kerjasama terjalin antara The Weststar Group merealisasikan projek perintis tersebut untuk memperkasa sukan golf di peringkat akar umbi.

“Program mengetengahkan jurulatih-jurulatih golf profesional tanah air dan penampilan istimewa pemain golf pertama negara yang memenangi emas individu wanita di Sukan SEA, Ng Jing Xuen.

“Para peserta berusia lapan hingga 16 tahun ini sangat bertuah kerana mendapat sentuhan daripada atlet yang melakar sejarah dan profesional negara malah dinilai berdasarkan aspek teknikal, fizikal serta mental,” katanya pada Majlis Penutup Program Junior Golf Summer Camp 2023 di Kelab Golf Jasin Heritage, Melaka, semalam.

Tambah Mohd Irwan, penilaian itu amat penting kerana dapat membantu para peserta memperbaiki kemahiran mereka termasuk dari segi pukulan, postur tubuh badan, stamina dan kekuatan mental sekali gus dapat mengenal pasti kelebihan serta kelemahan mereka.

Beliau bercadang memperluaskan program berkenaan kepada empat zon pada tahun hadapan di negeri Kedah, Johor, Melaka dan Selangor.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Kewangan The Weststar Group, Datuk Mohd Wazeer Nawawi dan pemilik Jasin Heritage Golf Club, Datuk Md Zaini Mohd Ladzim.

“Saya berharap kerjasama bersama The Weststar Group dapat diteruskan untuk memartabatkan industri golf tanah air dan menyokong pertumbuhan bakat golf dalam kalangan remaja di negara ini.

“The Weststar Group berharap program ini dapat memberi inspirasi kepada peserta memperbaiki diri bukan sahaja dalam bidang golf tetapi kehidupan seharian mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette