
BANGKOK: Tentera Myanmar mengambil alih akaun berkaitan badan amal jutawan kelahiran Amerika Syarikat, George Soros, kerana didakwa membiayai penentang rampasan kuasa, lapor Sputnik memetik media tempatan pada Selasa.
Pertubuhan Terbuka Myanmar (OSM) yang beroperasi di Asia Tenggara sejak 1994, membiayai aktivisme selama bertahun-tahun pemerintahan tentera. Peruntukannya pada 2020 berjumlah AS$4.6 juta.
Media rasmi Global New Light of Myanmar melaporkan tentera mengumumkan menguasai akaun badan amal itu bernilai AS$3.81 juta di empat bank swasta.
OSM dituduh gagal mendapatkan kelulusan bank pusat untuk deposit AS$5 juta yang dibuatnya dengan Bank Pembangunan SME kendalian kerajaan pada 2018. Sejumlah AS$1.4 juta ditukar kepada mata wang tempatan dan wang tunai dikeluarkan seminggu selepas rampasan kuasa 1 Feb lalu.
Jumaat lalu, pegawai kewangan OSM ditahan untuk disoal siasat ekoran kebimbangan wang tunai itu akan digunakan untuk membiayai gerakan antikudeta. Sebelas pegawai lain, termasuk pengerusi dan naib pengerusi badan amal itu, menjadi individu dikehendaki kerana disyaki membantu pembangkang.