Junta Myanmar penjara wartawan guna undang-undang era kolonial

YANGON: Seorang wartawan Myanmar yang menyiarkan secara langsung penahanannya oleh pasukan junta dipenjara selama dua tahun hari ini, kata majikannya, ketika tentera meneruskan tindakan kerasnya terhadap laporan kritikal.

Aung Kyaw, yang bekerja untuk Democratic Voice of Burma (DVB) dihukum di utara bandar Myeik, kata agensi itu, di bawah undang-undang era kolonial, yang menghukum perbuatan mendorong perbezaan pendapat terhadap tentera.

Junta menyemak semula undang-undang itu selepas rampasan kuasa pada 1 Februari lalu untuk memasukkan penyebaran ‘berita palsu’ sebagai satu jenayah.

Pasukan keselamatan melakukan serbuan pada waktu malam di rumah Aung Kyaw pada Mac, beberapa hari selepas beliau membuat liputan tindakan keras yang kejam ke atas tunjuk perasaan antijunta di Myeik.

Beliau menyiarkan secara langsung penahanannya di laman Facebook rasmi DVB, dengan rakaman yang huru-hara dan dentuman kuat di luar bangunan pangsapurinya.

“Tolong jangan berbuat ganas,” katanya dalam video itu.

“Jika kamu menembak seperti ini, bagaimana saya akan turun?”

Myanmar berdepan kekacauan sejak tentera menggulingkan pemimpin yang dipilih rakyat, Aung San Suu Kyi, pada 1 Februari, mencetuskan pemberontakan besar-besaran dengan sejumlah besar penduduk turun ke jalanan.

Junta bertindak balas dengan kekerasan, menembak penunjuk perasaan, menangkap orang yang disyaki pembangkang dalam serbuan pada waktu malam dan menyasarkan wartawan serta agensi berita dengan menutupnya.

Menurut kumpulan pemantau Reporting ASEAN, 87 wartawan ditangkap sejak rampasan kuasa, dengan 51 orang masih ditahan.

Beberapa wartawan asing juga ditahan dan warga Amerika Syarikat (AS), Danny Fenster, ditahan ketika cuba meninggalkan negara itu pada 24 Mei. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd