am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa jurugambar jalanan masih berani menawarkan perkhidmatan mengambil gambar pelancong di Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini, walaupun aktiviti itu diambil tindakan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kelmarin.
Tinjauan di lokasi mendapati hampir 10 lelaki dipercayai jurugambar jalanan beroperasi secara individu dengan mendekati pelancong untuk menawarkan perkhidmatan mengambil gambar berlatar belakangkan menara yang menjadi mercun tanda ikonik negara itu.
Pemerhatian turut mendapati ada individu yang menyembunyikan peralatan mengambil gambar di dalam beg dan akan mengeluarkannya apabila mendekati pelancong dipercayai sebagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa.
Seorang jurugambar jalanan yang enggan dikenali mengakui aktiviti itu salah dan tidak dibenarkan namun mendakwa ia dilakukan untuk mencari rezeki bagi menampung kehidupan selain memberi peluang kepada pelancong mendapatkan gambar yang lebih cantik.
Katanya, dia juga tahu pihak berkuasa terutama DBKL kerap membuat operasi di kawasan berkenaan bagi mencegah kegiatan itu daripada terus berleluasa namun mengakui dalam bimbang dikenakan tindakan dia tetap mahu meneruskan kegiatan itu.
“Saya bekerja sebagai penghantar barang dan aktiviti ini hanya sebagai kerja sampingan untuk menambah pendapatan. Dalam sehari saya boleh dapat RM70 hingga RM80 dan biasanya hari minggu lebih ramai pelancong tetapi tidak semua mahu menggunakan khidmat kami.
“Saya tahu kegiatan kami tidak dibenarkan dan selalu ada operasi di sini dengan terbaru pada Jumaat lalu namun saya tidak terbabit. Kalau perasan kehadiran pihak berkuasa kami akan terus lari dan memang takut juga tetapi ini kerja yang boleh membantu menambah pendapatan saya,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, tinjauan di Pintasan Saloma, di sini, yang turut menjadi lokasi kegiatan terbabit mendapati tiada kumpulan berkenaan di kawasan tumpuan pelancong itu dan orang ramai yang berada di situ mengambil gambar sendiri.
Pengawal keselamatan di Pintasan Saloma yang enggan dikenali berkata, jurugambar berkenaan biasanya ramai dan beroperasi pada waktu malam di kawasan itu.
Katanya, amaran mengenai kegiatan itu juga sudah diletakkan di kawasan masuk Pintasan Saloma dan pelancong juga mengambil maklum perkara itu yang mana ada sebahagian mereka tidak mahu menggunakan perkhidmatan itu atas alasan bimbang ditipu.
“Kita pantau dan pernah saya tegur mereka tetapi individu itu tetapi mereka mempersoalkan larangan itu. Di sini yang ramai biasanya pada waktu malam kerana lebih menarik dan kira-kira 15 jurugambar berada di lokasi.
“Berdasarkan apa yang saya tahu mereka akan menawarkan khidmat mengambil gambar dan ada yang memujuk juga. Mereka ada peralatan seperti lighting (pencahayaan) jadi gambar lebih nampak cantik,” katanya.
Semalam, DBKL mengambil tindakan tegas dengan menyita 23 peralatan jurugambar ‘mobilegrapher’ serta tindakan terhadap penjaja air tanpa lesen dalam operasi bersepadu di sekitar KLCC dan Pintasan Saloma, di sini.
Terdahulu media melaporkan, kumpulan jurugambar jalanan ‘ghaib’ selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam satu Ops Bersepadu Penguatkuasaan Terhadap Jurugambar di sekitar KLCC, di sini, semalam.
Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati kumpulan jurugambar itu muncul semula tidak lama kemudian malah ada yang menyambung kerja walaupun baru sahaja dikenakan kompaun.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd



