am@hmetro.com.my
Muar: Seorang jurujual kenderaan terpakai sambilan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan rakannya dalam sebuah kereta, tahun lalu.
Tertuduh, Tey Kiat Boon, 46, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia enam tahun ketika kejadian dalam kereta yang diparkir dekat sebuah restoran di Taman Tangkak Jaya, Tangkak, 5 Januari lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh sebelum itu menjual mercun sempena Tahun Baharu Cina.
Tertuduh mengenali bapa mangsa dan mengajak kanak-kanak itu memasuki kereta lalu melakukan perbuatan terkutuk terbabit.
Kejadian terbongkar apabila mangsa mengadu kesakitan ketika mandi sebelum dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.
Sementara itu, di mahkamah sama, pemandu lori mengaku tidak bersalah kerana didakwa merogol dan amang seksual fizikal terhadap pelajar berusia 15 tahun yang baru dikenali di laman mencari kenalan, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Syahirul Zulkipli, 26, dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Batu Pahat antara 6 pagi hingga 2 petang, 3 Januari lalu.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a), 14 (d) AKKSTKK.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dengan Kiat Boon diikat jamin RM9,000 manakala Muhammad Syahirul, RM10,000 berserta syarat tambahan, perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi termasuk mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen dengan Kiat Boon diwakili Tee Yuan Sheng sementara Mohd Razak Sharif mewakili Muhammad Syahirul.
Kes disebut semula pada 10 Mac ini untuk serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




