sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) merancang menambah 20 barisan jurulatih berkualiti bagi memastikan segala perancangan melahirkan atlet berkaliber menerusi Program Podium dan Pelapis dapat dicapai pada masa akan datang.
Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, ketika ini mereka menerima permohonan sebanyak 80 jurulatih dari dalam dan luar negara, namun MA dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan melakukan sesi temu duga sebelum memilih mereka mengikut kelayakan serta pengalaman sebelum ditempatkan bersama atlet berkenaan.
Katanya, mereka juga akan diberikan tugas untuk memberi tumpuan terhadap Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Komanwel Glasgow agar atlet negara mampu membawa pulang pingat lebih baik berbanding edisi sebelum ini.
“Seramai 20 jurulatih akan disalurkan dalam Program Podium dan Pelapis. Kita sudah ada senarai beberapa jurulatih yang akan dipanggil. Kita akan bekerjasama dengan MSN untuk menemu duga kesemua jurulatih ini sebelum kita salurkan mereka mengikut program.
“Kita ada dua lapisan iaitu Podium dan Pelapis. MA sudah membuka ruang di mana struktur olahraga, latihan dan kejurulatihan berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini,” katanya sambil memaklumkan jurulatih dari Finland dan Jerman antara yang menunjukkan minat.
Namun, Karim menyatakan bahawa jurulatih yang akan dipilih nanti perlu bersedia dari segi mental dan fizikal kerana tugasan mereka sangat berat bagi memastikan matlamat serta sasaran yang ditetapkan dapat dilaksanakan.
“Sebelum jurulatih hadir ke temu duga, saya ingin maklumkan sekarang bahawa tanggungjawab ini berat. Kita ada peguam yang sudah merangka draf tanggungjawab kerana kita mahukan keputusan terbaik untuk negara.
“Kita tidak mahu membazir wang kerajaan dan apabila kita mahukan keputusan, kita perlu mendapatkan jurulatih berkualiti untuk membimbing atlet dalam Program Podium,” katanya.
Untuk makluman, pada Sukan Asia Hangzhou, Malaysia hanya meraih tiga pingat gangsa. Ketiga-tiga pingat itu disumbangkan oleh Muhammad Azeem Mohd Fahmi (100 meter), Shereen Samson Vallabouy (400m) dan kuartet 4x100m wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




