am@hmetro.com.my
Semporna: Polis menahan seorang jurulatih selam skuba selepas disyaki terbabit dalam kejadian memukul dan mengugut seorang pelancong lelaki warga asing dalam satu insiden yang videonya tular di media sosial.
Suspek lelaki tempatan berumur 38 tahun ditahan selepas mangsa berusia 34 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada 10.46 pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Jaafar Hakim berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada insiden sehari sebelum itu ketika kedua-dua individu terbabit berada dalam bot menuju ke perairan Pulau Timba-Timba untuk aktiviti selam skuba.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan, tangki skuba milik pelancong warga Taiwan itu tumbang dan menghempap kaki suspek sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan pertengkaran mulut antara mereka.
“Suspek yang menerima rawatan di Hospital Tawau kemudian kembali ke syarikat pelancongan berkenaan untuk menuntut ganti rugi daripada mangsa, namun pertemuan itu sekali lagi menjadi tegang sebelum berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.
“Suspek dipercayai bertindak agresif dengan memukul mangsa dan turut mengeluarkan ugutan untuk mencederakannya,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan itu polis bertindak menahan suspek bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd