am@hmetro.com.my
Keningau: Seorang jururawat wanita maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Patikang, simpang masuk Patikang Laut, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.10 petang itu, mangsa, Hilen Tingu, 47, yang bertugas di Hospital Keningau, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas Perodua Axia dipandunya dilanggar di bahagian kanan oleh kenderaan jenis Toyota Land Cruiser.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari arah Bulatan Agudon menghala ke Bulatan Bakiau.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai membelok ke kanan untuk masuk ke simpang Jalan Patikang Laut sebelum dirempuh kenderaan Toyota Land Cruiser dipandu lelaki berusia 62 tahun yang datang dari belakang.
“Akibat pelanggaran, kenderaan mangsa diseret ke bahu jalan sebelah kiri sebelum dia tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan Hospital Keningau.
Katanya, pemandu dan dua penumpang Toyota Land Cruiser hanya mengalami cedera ringan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd