am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Juruteknik didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan tunang bekas isterinya dan merosakkan pagar rumah wanita itu, Ahad lalu.
Majistret Suhaila Shafi’uddin menjatuhkan hukuman itu selepas Muhamad Sofi Zainudin, 28, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa seorang anak itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan pagar rumah bekas isterinya berusia 25 tahun di Taman Ros, Ayer Hitam, di sini, kira-kira 8.30 malam, 3 November lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencederakan tunang bekas isterinya berusia 22 tahun dengan kejadian berlaku pada waktu, tarikh serta lokasi sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menghubungi bekas isteri untuk mengambil anak, namun wanita itu tidak menjawab panggilan.
Tertuduh kemudian ke rumah bekas isterinya dalam keadaan marah sehingga menimbulkan pergaduhan mulut dan akhirnya membawa kepada tindakan merosakkan pagar.
Pada masa sama, tunang bekas isterinya turut berada di rumah terbabit dan pergaduhan itu berakhir dengan tindakan tertuduh menumbuk serta menendang lelaki terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Shariff.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 bagi pertuduhan pertama dan RM1,000 untuk pertuduhan kedua selain memerintahkannya menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd