Jurutera didakwa salah guna wang RM145,000

Jurutera didakwa salah guna wang RM145,000

Kuala Lumpur: Jurutera data mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM145,000 milik sebuah syarikat besi buruk dalam urusan pelaburan projek, tahun lalu.

Jimmy Hoong Kam Weng, 45, didakwa menyalahgunakan wang milik syarikat Seng & Kian Enterprise Sdn Bhd berjumlah RM145,000 melalui akaun bank milik tertuduh di mana mengetahui duit itu bukan miliknya di Wisma Mont Kiara, di sini, pada 17 Mei 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R Harvind mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam CW Chan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga termasuk isteri, yang tidak bekerja dan empat anak.

Chan berkata, kes ini berkaitan pelaburan di mana tertuduh dan pengadu bersetuju untuk melabur dalam projek bersama-sama dan mereka berjumpa dengan syarikat berkaitan projek serta bersetuju dengan harga ditetapkan.

Hakim Azrul Darus membenarkan Hoong diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Februari depan untuk sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top