Jurutera rugi RM178,000, terjerat skim pelaburan palsu

Jurutera rugi RM178,000, terjerat skim pelaburan palsu

farid_noh@bh.com.my

Pasir Gudang: Jurutera kerugian RM178,200 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga wanita berusia 33 tahun itu semalam, memaklumkan ditipu sindiket pelaburan sejak Mac lalu.

“Mangsa mula tertarik selepas melihat iklan pelaburan saham di aplikasi Telegram dan kemudian mengikut pautan diberikan.

“Dia dijanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat. Seterusnya mangsa melakukan 19 transaksi ke dalam tiga akaun bank yang berlainan bermula dari Mac hingga Julai lalu, membabitkan nilai keseluruhan RM178,200,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohd Sohaimi berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran semula modal dan keuntungan.

Katanya, siasatan awal pihak polis mendapati kesemua akaun yang terbabit mempunyai 21 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan turut membabitkan pembabitan keldai akaun.

“Polis menasihatkan orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dan sentiasa berhati-hati dan melakukan semakan terhadap syarikat atau individu yang menawarkan pelaburan sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Orang awam perlu semak kesahihan individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Jangan mudah percaya dengan janji keuntungan besar dalam tempoh singkat selain gunakan portal Semak Mule untuk menyemak akaun yang mencurigakan sebelum melakukan sebarang transaksi.

“Sekiranya terdapat sebarang tawaran pelaburan yang meragukan, laporkan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top