redzuan.muharam@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pasukan juruterapi Malaysia mengharumkan nama negara selepas menjadi juara keseluruhan dalam Kejohanan Urutan Holistik Dunia (WHMCC) 2025 di Singapura yang melabuhkan tirainya semalam.
Kejayaan itu kemenangan sembilan juruterapi negara yang membawa pulang 18 daripada 22 piala menjadi rebutan dalam kejohanan berkenaan.
Mereka terdiri daripada Romlah Sudirman, 36, (Johor) (tempat ketiga WHMCCS 2025 dan kategori urutan terbaik Thai); Marinda Majapin, 51, (Sabah ) (kategori urutan buluh); Jennis Vun Nget Yen, 36, ( Sabah ) (kategori urutan refleksologi terbaik dan kesejahteraan spa terbaik) ; Sherry Norshiella Soep, 37, ( Kuala Lumpur ) (kategori urutan aromaterapi) ; Dhia Fathia Zhura, 42, (Johor) (kategori pakaian terbaik) ; Hanisah Othman, 61, (Johor), (kategori bekam); Norhafiza Zainal Abidin, 40, (Johor) (kategori urutan Sweden terbaik); Faten Syahira Mohd Hanapi, 36, (Kelantan) (kategori urutan muka terbaik) juga Dr Hadafi Fitri Mohd Latip, 42, (Johor) dengan kemenangan Anugerah Kecemerlangan Kesejahteraan Spa Holistik 2025.
Jurucakap Pasukan Malaysia, Mohd Abiddin Ahmad, 41, yang juga bertanding dan memenangi enam kategori berkata, pasukannya tidak meletakkan sasaran untuk menjadi juara keseluruhan kerana rata-rata peserta terbabit pertama mewakili negara serta masih baru dalam teknik pertandingan urutan.
Justeru, Mohd Abiddin berbangga dengan pencapaian itu malah terharu melihat semangat berpasukan juruterapi terbabit yang begitu kuat antara satu sama lain walaupun pertama kali berjumpa ketika bertanding.
“Terlalu banyak rintangan dan cabaran ketika di sana malah peserta negara juga keletihan pada peringkat awal kerana sepanjang sehari sebelum pertandingan, kami kurang rehat dan masih membuat rawatan kepada pesakit sebelum bertanding.
“Saingan juga sengit daripada juruterapi negara lain yang bertanding antaranya Vietnam dan Filipina kerana teknik urutan yang hampir sama dengan pasukan negara.
“Apa yang membezakan adalah teknik urutan Melayu yang digabungkan dalam silat serta tarian tradisional seperti zapin juga kuda kepang namun bersyukur kerana dapati menambat hati juri,” katanya kepada Harian Metro.
Mohd Abiddin berharap, kejayaan itu bukan pengakhiran tapi pembakar semangat untuk lebih ramai juruterapi negara mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Akan datang, pasukan kami juga merancang menghantar lebih ramai juruterapi negara termasuk yang muda dalam kejohanan di luar negara.
“Kita yakin ramai anak muda yang berkebolehan, bersemangat serta boleh bekerjasama dalam pasukan untuk membawa pulang kejayaan,” katanya yang merangkul Anugerah Kebersihan (ECO) Spa Holistik Terbaik Dunia 2025., Anugerah Kecemerlangan Kesejahteraan Spa Holistik Dunia 2025, Duta Besar Tahun 2025, Persekitaran Kesejahteraan Spa Terbaik (ECO), Anugerah Pengajar Kesejahteraan Spa & Kecantikan Global 2025 dan Pemenang Terbaik WHMCCS 2025.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah 36 juruterapi profesional yang menyahut cabaran dengan mewakili negara dalam WHMCC 2025 di Singapura bermula Sabtu hingga semalam.
Rombongan peserta itu bertolak dari Pusat Rawatan Terapi Urut Tradisional Pak Su Den di Bandar Permas Jaya, di sini pada Jumaat dengan menaiki bas.
Peserta negara itu membabitkan 21 juruterapi wanita dan 15 lelaki yang datangnya dari Semenanjung hingga Borneo.
Mereka berumur lingkungan 21 hingga 64 tahun dan bukan calang-calang peserta kerana berpengalaman sebagai juruterapi profesional.
© New Straits Times Press (M) Bhd




