Juruterbang Malaysia berdepan hukuman mati kes seludup 26kg dadah ke Indonesia

Juruterbang Malaysia berdepan hukuman mati kes seludup 26kg dadah ke Indonesia

JAKARTA – Seorang juruterbang warga Malaysia berdepan hukuman mati di Indonesia selepas didakwa cuba menyeludup masuk 26 kilogram (kg) dadah jenis MDMA ke negara itu selain didapati positif beberapa jenis dadah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, lelaki berusia 39 tahun yang hanya dikenali sebagai MSO itu ditahan pada Rabu sejurus selepas menerbangkan pesawat penumpang dari Kuala Lumpur ke Jakarta.

Pegawai Pejabat Kastam Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata, keputusan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, MDMA dan kokain.

Pegawai kastam Indonesia menunjukkan pakaian seragam seorang juruterbang warga Malaysia bersama dadah yang didakwa cuba diseludup pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, berhampiran Jakarta. - Foto: AFP

Pegawai kastam Indonesia menunjukkan pakaian seragam seorang juruterbang warga Malaysia bersama dadah yang didakwa cuba diseludup pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang, berhampiran Jakarta. – Foto: AFP

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM sahkan penahanan juruterbang Malaysia kes dadah di Indonesia

Kes dadah libat juruterbang: Malaysia Airlines sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa Indonesia

“Keputusan ujian air kencing menunjukkan suspek positif methamphetamine, MDMA dan kokain. Ini bermakna ketika mengendalikan penerbangan, suspek berada di bawah pengaruh dadah.

“Perkara yang membimbangkan adalah suspek merupakan seorang juruterbang dan baru sahaja menerbangkan pesawat dari Kuala Lumpur ke Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Hasil pemeriksaan menemukan 14 bungkusan mengandungi lebih 70,000 pil ekstasi di dalam bagasi suspek, selain empat gram methamphetamine yang dipercayai untuk kegunaan peribadi di dalam beg tangan.

Menurut Hengky, suspek dipercayai menyangka laluan khas pemeriksaan kastam untuk juruterbang dan kru penerbangan tidak akan melibatkan pemeriksaan rapi.

“Namun, pemantauan yang kami lakukan adalah sama terhadap semua individu,” katanya.

Dalam keterangannya kepada penyiasat, suspek mengaku ini merupakan kali ketiga dia cuba menyeludup dadah, termasuk dua kali ke Indonesia dan sekali di Malaysia.

Jurucakap polis, Awaludin berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Beliau kini didakwa mengikut undang-undang penyeludupan dadah Indonesia yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Indonesia mempunyai antara undang-undang antidadah paling tegas di dunia, termasuk hukuman mati terhadap pesalah pengedaran dadah.

Bagaimanapun, negara itu masih mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman mati sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Suspek turut memberitahu penyiasat bahawa dia dijanjikan bayaran sebanyak RM50,000 bagi menghantar bekalan dadah tersebut ke Jakarta.

Siasatan dalaman

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan terhadap juruterbang berkenaan dan telah melancarkan siasatan dalaman.

“Syarikat akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan selaras dengan semua undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan tersebut enggan mengulas lanjut sementara menunggu siasatan pihak berkuasa Indonesia selesai.

Indonesia ketika ini mempunyai ratusan banduan yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan dadah, termasuk puluhan warga asing.

Kali terakhir negara itu melaksanakan hukuman mati bagi kesalahan dadah adalah pada 2016 apabila empat pesalah, termasuk tiga warga Nigeria dan seorang rakyat Indonesia dihukum tembak.

Pada Mac lalu, dua lelaki warga Britain masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan dan 11 tahun selepas didapati bersalah menyeludup kokain ke Bali.

Pada Jun pula, polis Bali menahan dua warga Rusia yang didakwa cuba menyeludup hampir lapan kilogram hashish ke pulau peranginan itu. – Agensi

Scroll to Top