am@hmetro.com.my
Nilai: Hasrat seorang wanita untuk menunaikan ibadah haji terbantut apabila dia diperdaya sebuah agensi pelancongan sehingga menyebabkan kerugian hampir RM200,000.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas mendapati agensi berkenaan sudah tidak beroperasi pada Mac lalu.
“Kira-kira 11.30 pagi hari ini, polis menerima satu laporan daripada seorang wanita warga tempatan berusia pertengahan 30-an mengenai kejadian ini.
“Mangsa dikatakan berurusan dengan seorang individu daripada sebuah agensi pelancongan umrah yang menawarkan pakej haji bermula 14 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, wanita yang bekerja sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan Malaysia menyatakan berminat dengan tawaran pakej haji itu.
“Mangsa mendakwa sudah membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM194,970.00 ke dalam akaun agensi itu sebagai pembayaran penuh pakej haji yang ditawarkan.
“Pada 15 Mac, pengadu sedari ditipu selepas mendapati agensi pelancongan itu sudah tidak beroperasi dan tidak dapat mengerjakan ibadah haji seperti dijanjikan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek.
“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej menunaikan haji atau umrah yang tidak berlesen dan membuat semakan dengan pihak Tabung Haji serta pihak berkuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd