sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj mengingatkan pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh agar tidak terlalu selesa selepas muncul naib juara Terbuka Macau, semalam.
Menurutnya, kejayaan mara ke final saingan Jelajah Dunia BWF Super 300 itu satu permulaan positif buat Justin, namun masih banyak aspek perlu diperbaiki andai mahu mencapai tahap pemain legenda seperti Datuk Seri Lee Chong Wei.
“Kita masih jauh lagi nak kejar pencapaian Chong Wei.
“Masuk final memang bagus, tapi kalau tak main permainan terbaik, sukar nak atasi lawan yang lebih baik daripada kita,” katanya.
Pada aksi final di Macao East Asian Games Dome, Justin gagal meraih gelaran sulung apabila tewas kepada pemain muda Indonesia, Alwi Farhan 15-21, 5-21.
Bagaimanapun, aksi itu dibayangi gangguan air yang menitis ke gelanggang akibat sistem pendingin hawa, hingga perlawanan terhenti beberapa kali.
Situasi itu mengundang trauma buat Justin yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan tendon Achilles pada April 2023 dan lutut kanan (November), sekali gus menjejaskan rentaknya terutama di set kedua.
James yang juga bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, prestasi Justin dalam set kedua memang menunjukkan fokusnya terganggu.
“Dia hilang fokus, main ikut rentak sendiri, semua percubaan tak menjadi.
“Bila lawan lebih baik, kita kena main permainan terbaik dan pilih strategi betul,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tetap melihat pencapaian Justin sebagai satu petanda positif untuk kebangkitan perseorangan lelaki negara.
“Ya, permulaan yang baik. Tapi ini baru langkah pertama, dia kena ambil pengajaran dan belajar daripada kesilapan untuk jadi pemain lebih matang.
“Kita belum dapat lihat dengan jelas hala tuju perseorangan sekarang. Lee Zii Jia (pemain profesional) masih cedera, begitu juga Ng Tze Yong. (Leong) Jun Hao okay, tapi masih belum agresif dan kena pecahkan ‘tembok’ untuk jadi lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd