KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Kenneth Jonassen menyifatkan prestasi Justin Hoh di Kejohanan Badminton Terbuka Macau Super 300 sebagai satu petanda kemajuan yang meyakinkan, meskipun anak didiknya itu tewas di pentas final.
Menurut Jonassen, pemain muda berusia 21 tahun itu berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang kejohanan, termasuk perlawanan sukar di separuh akhir, sekali gus menjadikan minggu saingan di Macau sebagai proses pembelajaran penting buatnya.
“Prestasi minggu ini sangat memberangsangkan. Justin berjaya mengatasi banyak situasi sukar yang penting untuk membantu perkembangan jangka panjang dan membolehkannya kembali lebih kuat,” kata Jonassen kepada Sukan Sinar.
Dalam perlawanan akhir di Macau East Asian Games Dome pada Ahad, Justin pemain ranking ke-45 dunia itu tewas kepada pilihan kelima dari Indonesia, Alwi Farhan, 15-21, 5-21 dalam masa 54 minit.
Jonassen juga menjelaskan bahawa perlawanan itu menjadi satu lagi pengalaman berguna buat Justin dalam usaha membina keyakinan dan ketahanan di pentas antarabangsa.
“Hari ini merupakan satu pengalaman penting untuknya. Kita masih ada banyak aspek yang perlu diperbaiki. Yang penting sekarang adalah pulih segera dan kembali dengan lebih mantap,” ujarnya.
Jonassen turut menegaskan bahawa harapan terhadap Justin kekal tinggi dan tidak pernah berubah sejak awal.
“Saya percaya pada potensi Justin. Harapan kami tidak pernah berganjak dan akan terus berpegang kepada pelan pembangunan sedia ada tanpa terburu-buru atau hanyut dengan satu keputusan,” tambahnya.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi gelaran perseorangan lelaki di Terbuka Macau adalah menerusi Datuk Seri Lee Chong Wei pada edisi 2010.
Sebelum final, Justin menempuh aksi separuh akhir mendebarkan menentang pemain India, Tharun Manneppalli, sebelum mencatat kemenangan 19-21, 21-16, 21-16 dalam masa 81 minit.
Sementara itu, Alwi hanya mengambil masa 39 minit untuk menewaskan pilihan kedua kejohanan dari India, Lakshya Sen, dengan keputusan straight set 21-16, 21-9.