Jutaan di Melbourne dikenakan perintah berkurung mengejut

Jutaan di Melbourne dikenakan perintah berkurung mengejut

MELBOURNE: Lebih lima juta penduduk di bandar raya kedua terbesar di Australia ini diarah menjalani perintah berkurung seminggu susulan penularan baharu COVID-19.

Pemangku Ketua Menteri Victoria, James Merlino, berkata arahan terbabit terpakai di Melbourne dan bandar sekitar Victoria bermula tengah malam ini, untuk tempoh tujuh hari selepas 26 kes baharu direkodkan.

“Sejak akhir-akhir ini, kita mendapati lebih banyak jangkitan virus yang lebih kuat, varian membimbangkan (VOC), berjangkit dengan lebih pantas berbanding sebelum ini,” katanya.

Varian yang dikesan dikenal pasti sebagai B1617, yang merebak secara meluas di India.

Perintah berkurung yang dilaksanakan adalah bagi memudahkan pengesanan kontak manakala penduduk dibenarkan keluar rumah bagi urusan penting termasuk untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Menurut Parti Buruh, sebanyak 17 penularan baharu dikesan dalam tempoh enam bulan dan parti pembangkang itu mengecam kerajaan konservatif kerana enggan menambah baik sistem kawalan pandemik.

Australia merekodkan kira-kira 30,000 kes positif dan 1,000 kematian akibat COVID-19, majoritinya di Victoria susulan gelombang kedua tahun lalu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top