Kuala Lumpur: Dunia perubatan estetika di China baru-baru ini digemparkan dengan berita perkahwinan seorang jutawan wanita berusia 55 tahun bersama pasangannya yang jauh lebih muda, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Yu Wenhong, figura berpengaruh yang membina empayar kecantikan dari bawah, dilaporkan melangsungkan perkahwinan dengan seorang pemuda berusia 25 tahun, Liu Yuchen atau dikenali sebagai Renren.
Apa yang menarik perhatian netizen bukanlah jarak usia 30 tahun pasangan itu, tetapi nilai hantaran luar biasa yang diberikan oleh Wenhong kepada suaminya.
Laporan media menyebut jutawan itu memberikan aset bernilai 50 juta yuan (kira-kira RM32 juta) merangkumi wang tunai, hartanah mewah, serta deretan kereta berjenama sebagai tanda ikatan perkahwinan mereka pada Mac 2026.
Di sebalik kejayaan luar biasa dalam dunia perniagaan, kehidupan peribadi Wenhong juga tidak kurang hebatnya dengan kisah cinta yang penuh warna-warni, yang mana beliau dilaporkan pernah melalui lima fasa perkahwinan sebelum bertemu jodoh terbaharunya ini.
Sejarah hidup Wenhong sebenarnya bermula daripada latar belakang keluarga yang sangat sederhana di Dalian, wilayah Liaoning, China, jauh daripada kemewahan yang dikecapinya hari ini.
Kehidupan beliau berubah menjadi sukar selepas kematian bapanya, yang memaksa Wenhong memikul tanggungjawab besar untuk menyara ibu serta adik lelakinya seawal usia 18 tahun.
Beliau memulakan langkah dalam industri kecantikan sebagai juruteknik tatu kening, sebuah pekerjaan yang menuntut ketelitian tinggi sebelum akhirnya berjaya membuka salun kecantikannya sendiri.
Kegigihan Wenhong membuahkan hasil apabila beliau mengasaskan Young Merry Real International Group di Hong Kong pada 2004, sekali gus membina empayar estetika perubatan yang gah.
Hanya dalam tempoh setahun selepas penubuhannya, rangkaian perniagaan beliau berkembang pesat sehingga mempunyai lebih 150 cawangan.
Sebelum bertemu Renren, beliau juga pernah menjalin hubungan selama sedekad dengan seorang model dari Albania, Rolando Lekaj, yang mana pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata.
Fasa baharu hidupnya bermula apabila beliau bertemu dengan Renren yang dilahirkan pada 2001, yang sebelum ini pernah bekerja sebagai peragawan untuk syarikat milik Wenhong sendiri.
Pasangan itu dilaporkan mula rapat pada separuh kedua tahun 2025, dengan ada dakwaan menyatakan mereka bertemu menerusi interaksi di platform penstriman langsung di mana Wenhong sering memberikan ‘gift’ dan tip.
© New Straits Times Press (M) Bhd




