Juve terima tamparan, Gatti patah tulang betis

Juve terima tamparan, Gatti patah tulang betis

Milan: Juventus kehilangan khidmat pertahanan utama mereka, Federico Gatti, menjelang pertembungan penting menentang Roma hujung minggu ini selepas kelab itu mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu mengalami patah tulang betis kiri.

Dalam kenyataan, Juve mengesahkan pemeriksaan perubatan mendapati Gatti mengalami ‘patah kompaun pada diaphysis fibula kiri’ selepas terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika kemenangan 1-0 ke atas Genoa, semalam.

Ia ujian getir buat pengendali sementara, Igor Tudor, yang baru sahaja mengambil alih pasukan selepas pemecatan Thiago Motta.

Bianconeri tidak mendedahkan tempoh sebenar Gatti akan berehat, namun laporan media di Itali menjangkakan dia akan diketepikan selama sebulan.

Kehilangan Gatti adalah tamparan buat Juventus yang sedang memburu slot Liga Juara-Juara, dengan pasukan itu kini di tangga kelima Serie A, satu mata di belakang kedudukan empat teratas dengan baki lapan perlawanan musim ini.

Lebih mencabar, mereka bakal berdepan Roma pada Isnin ini, pasukan yang sedang berada dalam prestasi terbaik dengan tujuh kemenangan berturut-turut dalam Serie A dan kini hanya tiga mata di belakang Juventus di tangga keenam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top