Rom: Cristiano Ronaldo kini boleh menyimpan £8.5 juta (RM46.2 juta) gaji tertunggak daripada bekas kelabnya Juventus selepas keputusan mahkamah berpihak kepadanya.
Bintang Portugal itu sebelum ini menuntut £17 juta pound (RM92.4 juta) iaitu jumlah bersih yang dijanjikan oleh kelab apabila beliau bersetuju untuk menangguhkan sebahagian gajinya semasa tempoh sekatan pergerakan Covid-19.
Juventus dan pemain lain bersetuju menangguhkan empat bulan gaji pada Mac 2020 dan April 2021 kerana kelab mengalami masalah kewangan, tetapi jumlah itu tidak pernah diterima.
Kelab Itali itu turut gagal melaporkan jumlah gaji tertangguh ini yang dikenali sebagai ‘salary manoeuvres’ – dalam penyata kewangan mereka.
Arbitrasi awal tahun lalu memutuskan Ronaldo dan Juventus berkongsi tanggungjawab terhadap perkara berkenaan dan memerintahkan kelab membayar separuh daripada gaji tertangguh itu.
Juventus kemudian membuat rayuan di Mahkamah Buruh Turin, tetapi gagal.
Hakim Mahkamah Buruh, Gian Luca Robaldo menegaskan keputusan awal apabila Juventus gagal mendapatkan kembali jumlah itu.
Laporan menyatakan kelab Serie A itu tidak akan menghadapi kesan kewangan tambahan kerana jumlah berkenaan sudah dimasukkan dalam bajet 2023-2024 mereka.
Menurut Gazzetta Dello Sport, Juventus masih boleh membuat rayuan tambahan terhadap keputusan terbabit.
Ronaldo bermain untuk Juventus antara 2018 hingga 2021 dengan menjaringkan 101 gol dalam 134 perlawanan, memenangi dua gelaran liga dan satu Coppa Italia sebelum kembali ke Manchester United pada nilai £12.8 juta (RM69.5 juta) pada 2021.
Ronaldo yang akan menyambut ulang tahun ke-41 bulan depan, kini bermain untuk kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
© New Straits Times Press (M) Bhd




