Kabinet Thailand batal program kemasukan tanpa visa 60 hari

Kabinet Thailand batal program kemasukan tanpa visa 60 hari

Bangkok: Kabinet Thailand pada Selasa memutuskan untuk membatalkan skim tanpa visa 60 hari bagi pelawat dari lebih 90 negara dan wilayah, dengan kembali kepada peraturan visa sebelum ini.

Menteri Pelancongan dan Sukan Surasak Phancharoenworakul berkata keputusan itu juga terpakai kepada negara yang diberikan keistimewaan pengecualian visa pelbagai, yang ia juga akan dibatalkan dan dikembalikan kepada kriteria terdahulu.

“Bagi kriteria visa baharu yang dicadangkan, Jawatankuasa Dasar Visa akan menyemak setiap negara secara individu untuk menentukan aturan visa yang paling sesuai, dengan mengambil kira pertimbangan keselamatan dan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet pada Selasa.

Surasak berkata negara yang terjejas oleh pembatalan tempoh penginapan tanpa visa 60 hari itu akan kembali kepada aturan visa mereka sebelum ini, yang kebanyakannya membenarkan tempoh penginapan sekitar 30 hari.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bila dasar yang disemak semula itu akan berkuat kuasa.

Secara berasingan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Konsular di Kementerian Luar Thailand, Mungkorn Pratoomkaew berkata rangka kerja yang disemak semula itu akan menguatkuasakan dasar yang lebih ketat dengan hanya membenarkan satu skim pengecualian visa bagi setiap negara atau wilayah untuk menghapuskan keistimewaan yang bertindih.

“Perubahan itu bertujuan untuk menangani gabungan faktor, termasuk timbal balik, kebimbangan keselamatan dan pertindihan dasar, memandangkan beberapa skim pengecualian telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelancong,” katanya.

Beliau menambah bahawa peraturan baharu itu akan berkuat kuasa 15 hari selepas diterbitkan dalam Warta Diraja.

Selama bertahun-tahun, Thailand membenarkan warganegara dari 56 negara untuk masuk tanpa visa bagi tempoh penginapan sehingga 30 hari.

Pada Julai 2024, tempoh pengecualian visa telah dilanjutkan kepada 60 hari dan diperluas untuk merangkumi 93 negara dan wilayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top