Kad akreditasi Olimpik jurulatih sensasi olahraga ditarik balik

Kad akreditasi Olimpik jurulatih sensasi olahraga ditarik balik

Paris: Kad akreditasi Sukan Olimpik Paris 2024 Rana Reider dari Amerika Syarikat, jurulatih bekas juara Olimpik Andre De Grasse (Kanada) dan Marcell Jacobs (Itali), ditarik balik oleh Jawatankuasa Olimpik Kanada (COC) berikutan dakwaan penderaan seksual dan emosional.

COC berkata, ‘maklumat baru’ diperoleh mengenai kesesuaian untuk memberi kelayakan kepada Reider, yang disiasat atas tuduhan salah laku seksual oleh Pusat Keselamatan Sukan Amerika Syarikat (AS).

Beliau diletakkan di bawah pengawasan selama setahun yang berakhir pada bulan Mei.

Peguamnya berkata pada bulan Mei tahun lalu bahawa Reider mengakui mempunyai ‘hubungan romantik dengan seorang atlet dewasa, yang menunjukkan ketidakseimbangan kuasa’ tetapi tidak didapati melanggar sebarang tuduhan salah laku seksual lain.

Beliau menafikan melakukan kesalahan ketika dakwaan itu timbul.

“Keputusan untuk (memberi kelayakan kepada Reider) adalah berdasarkan pemahaman bahawa pengawasan beliau… berakhir pada Mei tahun ini, bahawa beliau tiada penggantungan atau sekatan lain dan memenuhi syarat kelayakan kami,” kata COC dalam satu kenyataan.

“Pada 4 Ogos, kami mengetahui maklumat baharu mengenai kesesuaian Reider untuk kekal bersama pasukan Kanada di Sukan Paris 2024.

“Dalam perbincangan dengan Olahraga Kanada, dipersetujui bahawa kad akreditasi Reider ditarik balik.”

Dakwaan terhadap Reider belum dibuktikan di mahkamah dan beliau tidak didakwa dengan sebarang jenayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top