kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Industri pembinaan negara mencatat pencapaian penting dengan pelancaran Kad Pendaftaran Personel binaan baharu CIDB (Kad Hijau), kad identiti digital pelbagai fungsi dan kad pembayaran gaji yang direka bagi mempertingkatkan pengurusan tenaga kerja di seluruh sektor pembinaan.
Kad Hijau adalah platform digital yang menyepadukan identiti pekerja, kehadiran di tapak binaan, akses kewangan dan pengurusan gaji ke dalam satu sistem nasional bersepadu.
Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif ini langkah besar ke hadapan bagi sektor pembinaan Malaysia serta memperkukuh ketelusan, keselamatan dan tadbir urus di tapak pembinaan di seluruh negara.
“Inisiatif ini membolehkan pekerja tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembayaran gaji secara tunai atau dokumen fizikal.
“Identiti pekerjaan, kehadiran serta gaji mereka kini boleh diuruskan secara digital dan selamat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kad Hijau CIDB di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Zainora Zainal dan Ketua Pegawai Eksekutif Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis.
Alexander berkata, di bawah Akta CIDB (Akta 520), pendaftaran personel binaan adalah diwajibkan dan sehingga kini, CIDB sudah mendaftarkan seramai 1,168,104 personel binaan, merangkumi 710,582 pekerja tempatan dan 457,522 pekerja asing.
Katanya, Kad Hijau CIDB baharu ini melangkaui fungsi kad pengenalan fizikal semata-mata kerana ia mengintegrasikan pengesahan identiti pekerja, penyimpanan rekod digital di dalam sistem CIMS CIDB dan e-dompet.
Aplikasi ini turut memperkenalkan ciri kehadiran digital di tapak binaan bagi menggantikan buku log manual dan rekod kehadiran yang tidak konsisten.
Pekerja hanya perlu log masuk ke aplikasi, memilih menu ‘Kehadiran Tapak’, mengimbas kod QR tapak bina dan kehadiran mereka direkodkan serta-merta.
Ciri Kad Hijau ini juga membantu untuk mengesahkan identiti semua personel di tapak bina, mengurangkan pengambilan pekerja tanpa dokumen, mempertingkatkan penguatkuasaan dan tadbir urus dan memperkukuh reputasi Malaysia dalam amalan buruh beretika.
Selain itu, CIDB melalui CLAB sudah melaksanakan projek perintis fungsi e-Wages bersama lima syarikat pembinaan, membabitkan seramai 279 orang pekerja pembinaan.
Dalam jangka masa panjang, data yang dikumpul melalui Kad Pendaftaran Personel Binaan Baharu akan disepadukan ke dalam Sistem Produktiviti Pembinaan (CPS) yang bakal diperkenalkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




