NEW JERSEY: Kad Pokemon yang jarang ditemukan mencatatkan rekod jualan sebanyak AS$16.49 juta (RM64.3 juta), termasuk premium pembeli pada Isnin, menjadikannya kad dagangan Pocket Monster paling mahal yang pernah dijual dalam lelongan awam.
Kad Pokemon Illustrator, yang memaparkan watak kartun ikonik Pikachu, menerima penarafan 10 iaitu gred tertinggi daripada pengesah kad hobi.
Ia merupakan satu daripada hanya 39 kad ilustrasi yang diberikan kepada pemenang pertandingan lukisan [ada 1998 yang dianjurkan oleh majalah Jepun, CoroCoro Comic.
Kad itu diserahkan kepada rumah lelongan Goldin Auctions yang berpusat di New Jersey oleh pempengaruh media sosial terkenal Amerika, Logan Paul.
Beliau membeli kad itu pada 2021 dengan harga AS$5.27 juta (RM20.5 juta) dan meraih gelaran Rekod Dunia Guinness untuk kad Pokemon paling mahal dijual pada jualan persendirian, menurut laman web itu.
Pembida yang memenangi kad Pikachu yang tergantung pada rantai berlian itu muncul dalam sesi tontonan secara langsung lelongan di saluran YouTube Logan Paul untuk menerima item berkenaan.
Bagaimanapun, rumah lelongan tidak mendedahkan identiti pembida tersebut pada pagi 16 Februari ketika lelongan tamat.
Beberapa tahun kebelakangan ini, influencer media sosial terkenal sering berinteraksi dengan peminat dengan membuka kotak yang mengandungi pelbagai pek kad Pokemon, dengan harapan menemukan kad jarang jumpa yang boleh bernilai ratusan malah ribuan dolar.
Menjelang lelongan dalam talian yang bermula pada 5 Januari, Ken Goldin, pengasas dan pemilik rumah lelongan itu, memberitahu Kyodo News bahawa beliau menjangkakan harga kad itu meningkat sejak 2021 dan tidak terkejut jika harga lot itu melebihi AS$10 juta.



