Kad UNHCR jadi 'lesen' warga asing bawa kenderaan secara haram

Kad UNHCR jadi 'lesen' warga asing bawa kenderaan secara haram

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) jadi ‘lesen’ warga asing bawa kenderaan secara haram.

Pelarian Rohingya, Rahim, 33, berkata, dia terpaksa bekerja sebagai pengutip besi buruk menggunakan sebuah motosikal tiga roda usang jenis Honda yang didakwa dibeli daripada seorang lelaki tempatan dengan harga RM1,500 dua tahun lalu.

Ayat ‘terpaksa’ dan ‘cari makan’ itu antara alasan sering diberikan warga asing terbabit apabila ditahan oleh pihak berkuasa.

“Mahu cari makan lah abang, kalau tak kerja ini apa macam mahu kasi anak, bini makan. Dulu kerja kontrak tapi kena tipu, sekarang buat ini (kutip besi buruk).

“Tolong lah abang, jangan tangkap saya, ini motor saya beli hutang RM1,500 sama Melayu, saya kerja sehari kadang-kadang RM20 kadang-kadang RM50 sahaja,”katanya ketika ditahan menerusi Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di sekitar Setiawangsa, di sini, hari ini.

Warga asing itu antara 58 PEWA ditahan menerusi operasi yang dijalankan di sekitar Wangsa Maju, Setapak dan Gombak bagi membanteras isu lambakan pemandu warga asing tanpa lesen.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi itu bermula 9 pagi hingga 2 petang membabitkan pegawai dan anggota dari Unit Operasi dan Unit Falcon.

Katanya, PEWA ditahan rata-rata bekerja sebagai pengutip besi buruk, penjual ais krim, penghantaran barangan dan ada juga penjual makanan.

“58 kenderaan terdiri daripada 52 motosikal, lima kenderaan barangan termasuk tiga lori sampah dan sebuah kereta disita dalam operasi hari ini.

“Kesemua kenderaan terbabit dipandu warga asing terdiri daripada 10 lelaki Bangladesh, Indonesia (11 orang), Myanmar (8 orang), Pakistan (15 orang) India (13 orang) dan Palestin seorang.

“Keseluruhannya sebanyak 323 kenderaan diperiksa dan 283 pelbagai jenis saman dikeluarkan sepanjang operasi hari ini ,” katanya.

Hamidi berkata antara kesalahan paling kerap dikesan dan dikenakan saman adalah tiada lesen memandu sebanyak 111 notis, tiada lesen cukai jalan (75), tiada insuran (61), salah guna kenderaan (14), tiada lesen vokasional (10), lain-lain kesalahan (12).

Mengulas lanjut Hamidi berkata pihaknya memandang serius isu PEWA di ibu negara dan akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berkala.

Katanya, untuk rekod sebanyak 586 kenderaan dipandu atau ditunggang PEWA disita bagi tahun 2024 dan menurun kepada 376 kenderaan tahun lalu.

“Berdasarkan statistik 2024 dan 2025, memang berlaku penurunan ketara bagi kes kenderaan melibatkan pemandu warga asing.

“Namun, perkara ini tidak bermakna penguatkuasaan akan dikurangkan. JPJ WPKL akan terus melaksanakan operasi dari semasa ke semasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top