am@hmetro.com.my
Pada pandangan segelintir pihak, di usia 70 tahun, Datuk Jalaluddin Hassan mungkin sudah boleh berehat atau mengurangkan aktiviti seni.
Malah, waktu senggang dipenuhi dengan momen berkualiti bersama isteri, Rapidah Abd Ghani, anak-anak serta cucu tersayang.
Tetapi tidak bagi Jalaluddin Hassan, ayah kepada lapan zuriat yang masih sibuk di lokasi penggambaran menjalankan tugas dan kewajipannya sebagai seorang pelakon yang masih menjadi pilihan syarikat penerbitan tempatan.
Bintang veteran itu bagaimanapun mengakui pernah menyimpan hasrat mengundurkan diri dari bidang seni kerana faktor usia.
Lebih tiga dekad bergelumang dalam bidang seni, Jalaluddin atau lebih mesra dengan sapaan Jalal menjelaskan keupayaan dan bakatnya lebih terarah kepada cabang itu.
“Sejujurnya saya pernah terfikir untuk undurkan diri dari bidang seni kerana faktor usia. Bukan apa, kadang tak larat.. tapi rezeki yang ada pada saya dan yang saya tahu ialah bidang seni.
“Jika hendak meniaga saya tak pandai atau ada kemahiran untuk menjalankan bisnes. Jadi bidang seni ini saya jaga, saya pupuk, dan saya belajar serta halusi sebaiknya.
“Oleh itu, pada saya tiada sebab hendak berhenti berkecimpung dalam bidang ini secara drastik dan mengejut,” kata Jalal.
Kerjaya lakonan Jalal bermula ketika dia berusia lewat 30-an dan hingga kini kekal bertahan serta masih diminati ramai.
Anak kepada tokoh agama terkenal, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari ini cukup berkesan dengan watak Ayah Haji Mukhsin lakonannya dalam Nur 2.
Bagaimanapun, yang pasti pembabitan Jalaluddin dalam bidang pengacaraan juga diingati menerusi program Who Wants to Be a Millionaire? pada 2000 hingga 2002.
“Alhamdulillah bagus jika kita ambil pendekatan hendak fokus kepada kesihatan dan tubuh badan. Walaupun kita sedang sibuk bekerja, kita tetap boleh beramal ibadah.
“Sebenarnya saya sudah cuba duduk diam, lagi bertambah sakit kerana jiwa saya dan minda tak berjalan. Lagi bertambah sakit jadinya.
“Oleh itu, saya harus bersyukur dengan kesihatan tubuh dan terus bergerak aktif dengan bakat yang Allah kurniakan kepada saya.
“Saya gunakan sebaik mungkin namun bukan dengan cara melampaui batas. Malah, saya tidak boleh lalai kerana apabila lalai kita lupa kepada Allah SWT,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




