GENEVA: Kadar pengangguran belia di seluruh dunia meningkat tahun lalu, dengan beberapa peningkatan paling ketara berlaku di negara berpendapatan tinggi ketika kecerdasan buatan (AI) mula mengubah pasaran pekerjaan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pemulihan sementara dan singkat pasaran buruh belia selepas pandemik Covid-19 kini sudah terhenti.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkata, kadar pengangguran belia global meningkat daripada 12.3 peratus pada 2024 kepada 12.4 peratus tahun lalu, bersamaan 67 juta penganggur berusia antara 15 hingga 24 tahun.
Sementara itu, peratusan belia yang tidak bekerja, tidak mengikuti pendidikan atau tidak menjalani latihan (NEET) meningkat sedikit kepada 20 peratus, melibatkan lebih 257 juta orang, menurut ILO dalam laporan Trend Pekerjaan Belia Global 2026.
Laporan yang pertama kali diterbitkan pada 2004 itu memberikan gambaran tahunan mengenai petunjuk pasaran buruh belia di peringkat global dan serantau.
Laporan berkenaan mendapati antara peningkatan terbesar kadar pengangguran belia berlaku di negara berpendapatan tinggi, dengan pekerjaan yang secara tradisinya menjadi pintu masuk golongan muda ke pasaran buruh termasuk pekerjaan pejabat dan pentadbiran, jualan serta sektor pembuatan semakin berkurangan.
“Pertumbuhan ekonomi global yang semakin perlahan, penciptaan pekerjaan yang berkurangan, ketegangan geopolitik dan perubahan teknologi yang pesat bergabung menjadikan peralihan daripada alam persekolahan kepada pekerjaan yang layak semakin sukar bagi ramai anak muda,” menurut laporan itu.
ILO yang berpangkalan di Geneva menjangkakan kadar pengangguran belia akan kekal pada 12.3 peratus pada 2026 dan 2027.
“Namun, pada tahun-tahun apabila kadar pengangguran belia dan kadar NEET meningkat serentak, kita akan mengibarkan bendera merah,” kata Ketua Unit Analisis Pekerjaan dan Dasar Ekonomi ILO, Sara Elder dalam sidang media.
Laporan itu turut mendapati kebimbangan dalam kalangan anak muda berada pada tahap tinggi, manakala kesan AI terhadap pasaran pekerjaan masih belum diketahui sepenuhnya.
Golongan muda semakin menyuarakan kebimbangan pekerjaan mereka akan digantikan teknologi. Peluang mendapatkan pekerjaan serta kestabilan pendapatan juga dikhuatiri akan terjejas akibat gangguan teknologi yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Pengarah Jabatan Pekerjaan, Kemahiran dan Perusahaan Lestari ILO, Sukti Dasgupta berkata, terlalu awal untuk mengaitkan secara langsung peningkatan AI dengan kenaikan pengangguran belia.
“Bagaimanapun, persamaan dari segi masa itu memang nyata. Dunia kini berdepan ketidaktentuan dan kerapuhan besar dalam ekonomi global ketika risiko baharu berkaitan AI mula muncul.
“Tiada satu pun perkembangan ini memberi petanda baik untuk golongan muda,” katanya, sambil menggesa lebih banyak kajian dijalankan dalam beberapa bulan akan datang.-AFP
