Kadar pengangguran Malaysia turun ke 3.0 peratus, terendah dalam tempoh 10 Tahun

Kadar pengangguran Malaysia turun ke 3.0 peratus, terendah dalam tempoh 10 Tahun

PUTRAJAYA – Kadar pengangguran Malaysia menurun daripada 3.1 peratus pada Mac kepada tiga peratus pada April, iaitu terendah dalam tempoh 10 tahun, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia bagi April 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Rabu.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan penganggur berkurangan sebanyak 0.7 peratus kepada 525,900 orang pada April 2025, berbanding 529,600 pada Mac.

“Kedudukan ekonomi negara yang meyakinkan telah menyumbang kepada tenaga buruh yang stabil pada bulan itu, dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, manakala kadar pengangguran terus menurun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata bilangan tenaga buruh menunjukkan trend menaik pada April, dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 17.34 juta orang berbanding 17.31 juta pada Mac.

“Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.8 peratus berbanding 70.7 peratus pada Mac, menunjukkan penyertaan lebih ramai buruh dalam pasaran,” katanya.

Dari sudut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan berada dalam trend peningkatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan.

Beliau berkata bilangan penduduk bekerja turut meningkat dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, serta perlombongan dan pengkuarian.

Mohd Uzir berkata kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.3 peratus pada April 2025, melibatkan 298,300 penganggur belia.

Beliau berkata bilangan penduduk di luar tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 7.17 juta orang pada April berbanding 7.16 juta pada bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh kerja rumah dan tanggungjawab keluarga yang merangkumi 43.7 peratus, diikuti bersekolah dan latihan sebanyak 41.1 peratus.

Mohd Uzir berkata tenaga buruh negara dijangka terus optimis dan berkembang menjelang bulan-bulan berikutnya pada tahun ini, disokong oleh kekukuhan dasar ekonomi dan kestabilan permintaan domestik.

“Walaupun terdapat ketegangan geopolitik global, tenaga buruh Malaysia dilihat akan terus berdaya tahan berikutan pengangguran yang stabil, perkembangan sektor perkhidmatan dan teknologi, serta peningkatan pelaburan dalam digitalisasi dan automasi,” tambahnya. – Bernama 

 

Scroll to Top