Kadar zakat fitrah Sabah meningkat kepada RM7.50

Kadar zakat fitrah Sabah meningkat kepada RM7.50

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengumumkan kadar zakat fitrah di Sabah meningkat daripada RM7 pada tahun lalu kepada RM7.50 pada tahun ini.

Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, kadar itu adalah bersamaan harga satu gantang baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti penduduk negeri ini.

Beliau berkata, kutipan zakat fitrah di Sabah pada tahun lalu adalah RM11.25 juta membabitkan seramai 1.61 juta pembayar iaitu meningkat seramai 46,587 orang atau 2.99 peratus berbanding 2022.

Secara keseluruhan kutipan zakat pada tahun lalu adalah sebanyak RM145.3 juta, termasuk zakat harta yang berjumlah RM134.05 juta.

Pada tahun lalu, Muis telah membuat agihan zakat membabitkan peruntukan berjumlah RM140.95 juta bagi 110,459 orang asnaf.

Menurut beliau, lebihan yang tidak sempat diagih pada hujung tahun lalu telahpun mula diagihkan pada awal tahun ini.

“Sepanjang bulan Ramadan tahun ini, Bahagian Zakat Dan Fitrah, Muis telah memperuntukan sebanyak RM19.6 juta untuk diagihkan kepada 47,079 orang asnaf, fakir dan mualaf sebagai persediaan untuk mereka menyambut satu syawal.

“Sejumlah RM18.1 juta diperuntukkan kepada 12,409 orang asnaf; 31,268 orang asnaf miskin dan 3,402 orang asnaf mualaf.

“Sementara itu, RM1.5 juta pula akan diagihkan kepada 2,200 orang sebagai upah amil kerana mereka bertugas memungut dan mengagih-agihkan zakat fitrah sepanjang bulan ramadan tahun ini,” katanya.

Yahya berkata, pada tahun ini Muis menyasarkan pungutan zakat dan fitrah berjumlah RM156.725 juta yang membabitkan pungutan zakat fitrah berjumlah RM11.725 juta manakala, pungutan zakat harta disasarkan berjumlah RM145 juta.

Hadir sama adalah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam. – UTUSAN