mahaizura@mediaprima.com.my
Pihak berkuasa diminta menyediakan satu pelan tindakan kecemasan menyeluruh dalam menyelamat dan menempatkan haiwan yang terjejas banjir.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika, berkata sudah tiba masanya negara mengiktiraf haiwan sebagai kelompok berisiko dalam pengurusan bencana, khususnya banjir yang berulang setiap tahun.
“Sebenarnya negara sudah perlu fikir masukkan haiwan dalam kumpulan berisiko dan perlu diselamatkan.
“Cadangan kami, buat satu tindakan pelan kecemasan termasuk menyelamat dan tempat penempatan dan jadikan dasar supaya ini menjadi keutamaan.
“Langkah ini penting bagi memastikan penyelamatan haiwan dilaksanakan secara teratur bukan secara ad hoc lagi setiap kali musim tengkujuh,” katanya.
Beliau yang juga pensyarah bidang pengurusan risiko, bencana dan keselamatan berkata, ketiadaan dasar khusus menyelamatkan haiwan ketika banjir menyebabkan jurang besar dalam pengurusan risiko negara.
“Banjir di negara kita bukan lagi kejadian luar jangka kerana ia berlaku secara konsisten saban tahun jadi patut ada pelan tindakan kecemasan untuk haiwan.
“Walaupun tiada data khusus, ribuan haiwan termasuk ternakan mati setiap kali banjir, namun isu itu tidak diberi perhatian serius hanya kerana ia haiwan.
“Tetapi dalam hal ini, kita pandang soal nyawa yang perlu diselamatkan dan kerugian dialami pemilik haiwan itu,” katanya.
Arie berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga boleh menambah nilai informasi tentang mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab memindahkan haiwan masing-masing ke tempat lebih selamat pada musim tengkujuh.
“Haiwan peliharaan itu tanggungjawab kita, jadi apabila banjir melanda, sepatutnya pemilik bertindak lebih awal dengan memindahkan haiwan itu sama macam keluarga kita dengan segera.
“Dalam aspek ini, pendidikan dan kesedaran itu jalan paling asas untuk mengubah sikap masyarakat kerana sedia maklum banjir ini sudah jadi ‘acara tahunan’,” katanya.
Katanya lagi, penternak juga perlu bertanggungjawab dengan tidak terus beroperasi di kawasan rendah dan berisiko banjir.
“Sekiranya banjir pernah berlaku beberapa kali, maknanya kawasan itu bukan sesuai untuk ternakan jadi pindah ke tempat lain,” katanya.
Arie turut menegur sikap segelintir pengusaha ‘shelter haiwan’ yang masih cuai walaupun mengetahui kawasan mereka berisiko.
“Sepatutnya apabila sudah tahu shelter itu tidak sesuai buat di kawasan banjir, kenapa tidak pindahkan kawasan lain?
“Jangan ambil kesempatan kerana masa banjir besar berlaku dulu, saya perhatikan seolah-olah macam satu acara pesta untuk meraih simpati dan mengutip dana dengan buat ‘live’, tetapi masih degil tidak alihkan lagi haiwan itu.
“Ini pun satu ‘penyakit’ yang kita perlu kekang kerana ia tidak ‘sihat’,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




