sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bersedia menerima semula tujuh persatuan yang dibatalkan pendaftaran oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, mereka boleh menjadi ahli gabungan KAFA pada kongres tahun hadapan dengan syarat sudah diluluskan pendaftaran.
Katanya, pada mesyuarat lalu, pihaknya bersetuju menerima usul untuk mengaktifkan semula semua persatuan yang dibatalkan dengan membuat permohonan semula.
“Ini termasuk menerima semula Persatuan Bolasepak Pasir Puteh dan Persatuan Bolasepak Jeli yang sebelum ini membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Ini usaha untuk kita meramaikan semula keahlian KAFA,” katanya dalam kenyataan pada media, hari ini.
Husin berkata, persatuan berkenaan hanya perlu mengemukakan dokumen yang diperlukan dan satu mesyuarat eksekutif akan diadakan untuk menerima atau menolak permohonan mereka.
“Kongres sahaja yang boleh menerima atau menolak keahlian seterusnya tahun depan lah, tapi dalam mesyuarat agung lalu kita dah maklum akan terima balik semua sekali 13 keahlian,” katanya.
Beliau berkata, bagaimana sekiranya KAFA perlu mengadakan semula kongres sepertimana diminta FAM, pihaknya akan merujuk PJS sekali lagi.
Terdahulu, Husin memaklumkan daripada 13 ahli hanya enam persatuan sahaja yang tidak dibatalkan PJS iaitu Persatuan Bolasepak Melayu dan Persatuan Bolasepak Jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Gua Musang.
Manakala, tujuh persatuan yang dibatalkan keahlian adalah Persatuan Bolasepak Jajahan Pasir Puteh, Jeli, Machang, Kuala Krai, Bachok, Persatuan Bolasepak Cina dan Persatuan Bolasepak India.
Ahli gabungan ini tidak dijemput hadir ke Kongres Tahunan KAFA kali ke-65 dan pemilihan jawatankuasa eksekutif persatuan itu bagi sesi 2024-2028.
Tindakan itu menyebabkan dua persatuan membuat aduan kepada FAM memecat keahlian KAFA serta-merta pada 21 Disember lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




