Seoul: Kafe Rain Report, di sini, adalah sebuah kafe unik di mana hujan turun tanpa henti setiap 15 minit dengan pelanggan disediakan payung, but getah serta baju hujan.
Oddity Sentral melaporkan kafe di Korea Selatan ini menawarkan pengalaman hujan lebat setiap 15 minit.
Hujan sememangnya konsep luar biasa untuk direka dalam sebuah kafe tetapi berdasarkan ulasan positif di Google, jelas sekali kafe Rain Report adalah tempat yang sangat istimewa.
Terletak di tengah-tengah kawasan kediaman di Itaewon, Rain Report dihias hampir sepenuhnya dengan warna hitam dan dipenuhi pokok buluh.
Ia memberikan suasana seperti di luar ibu kota Korea Selatan yang sibuk apabila hujan mula turun dan itu berlaku dengan sangat kerap.
Kafe itu mempunyai tingkap panorama yang menawarkan pemandangan jelas ke halaman dalamannya iaitu tempat ‘keajaiban’ berlaku.
Setiap suku jam, tanpa mengira ramalan cuaca harian, ‘hujan lebat’ di kafe Rain Report dan ia bukan sekadar titisan kecil, tetapi hujan lebat yang sangat menenangkan.
Kafe Rain Report yang bergantung kepada hujan buatan memberikan pelanggan peluang untuk melangkah ke halaman dalamnya dan merasai hujan lebat.
Kafe ini juga menyediakan payung plastik, baju hujan dan but getah secara percuma.
Sejak prapembukaan pada Mei lalu, kafe unik itu menjadi popular dalam kalangan pempengaruh Instagram yang ingin mengambil gambar di tengah hujan.
Beberapa bulan selepas pembukaan rasminya pada Jun lalu, Rain Report terus tular di media sosial Korea Selatan.
Oleh kerana popularitinya, kafe Rain Report bukanlah tempat yang paling sunyi untuk menikmati secawan kopi.
Kadang-kadang terdapat barisan pelanggan menunggu di tepi tingkap untuk merakam hujan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




